Bertudung gaya trendy
![]() |
MARLIANA bijak menata gaya tudung mengikut acara yang dihadirinya. |
![]() |
TUDUNG yang senada warna dan motif dengan busana. |
UNTUK tampil dengan gaya tudung unik tetapi cantik, ramai wanita terpaksa mencuba berkali-kali sehingga berpuas hati. Kebanyakan gadis bertudung kini semakin menitikberatkan gaya dalam memastikan mereka tampil anggun.
Fynas Zainol, 25, turut terjebak dengan fesyen tudung terkini iaitu ala Hana Tajima dan Yuna. Namun, tidak mahu meniru 100 peratus gaya itu, Fynas sebaliknya tampil lebih ringkas dan relevan untuk aktiviti santai.
Baginya, fesyen tudung seperti itu merupakan gaya terkini yang harus dicuba oleh golongan wanita yang ingin tampil cantik tetapi mudah digayakan.
"Fesyen tudung Hana Tajima dan Yuna kedua-duanya menembusi pasaran antarabangsa dan mereka mempunyai gaya tersendiri. Selepas melihat mereka memakainya, saya belajar cara-cara pemakaian itu melalui laman web YouTube.
"Dalam masa sama, saya juga mencuba gaya saya sendiri dan memastikan ia selesa untuk dipakai dan sesuai untuk ke sesuatu acara yang saya hadiri," katanya ketika ditemui di studio fotografi di ibu pejabat Kosmo! baru-baru ini.
Selepas selesa menggayakan fesyen tudung sebegitu juga, Fynas berasa lebih yakin dan cantik. Dia juga tidak perlu bersusah payah menyediakan pin tudung yang pelbagai sebagai aksesori sampingan.
"Fesyen ini sangat mudah dan ringkas. Hanya berbekalkan satu pin dan jarum, sesiapa sahaja sudah boleh kelihatan anggun dan kemas apabila bertudung," katanya yang selesa memilih selendang daripada fabrik kain kapas.
Pemilihan warna pula adalah bergantung kepada cita rasa masing-masing. Fynas menggemari warna-warna terang terutama merah atau memilih selendang dengan gabungan beberapa warna.
"Warna merah menampilkan sisi elegan. Saya banyak mengumpul selendang berwarna merah. Selain itu, saya menggayakannya untuk apa sahaja acara dan aktiviti termasuk bersantai, bersiar-siar dan untuk acara rasmi," kata jurutera mekanikal itu.
Bagi Marliana Mohd. Mansor, 25, pula, fesyen tudung seperti Hana Tajima dan Yuna menjadi pilihannya sesuai dengan perkembangan semasa dan pengguna masa kini yang bukan sahaja trendy tetapi mengekalkan ciri-ciri ketimuran.
"Nak memakainya pun mudah, belit-belit sahaja," katanya yang baru sahaja berjinak-jinak dengan fesyen tersebut sejak dua bulan lalu.
Bagi Marliana yang mengusahakan butik secara online di Facebook iaitu Arenalai Collections, walaupun hanya berbekalkan sehelai selendang pashmina, dia suka menambahkan seri pemakaian dengan menambah aksesori.
"Aksesori yang saya gunakan bergantung kepada acara yang saya hadiri. Jika sekadar keluar bersama rakan, saya tidak mengenakan aksesori kerana dengan sehelai selendang dan sebatang jarum pun saya sudah tampil selesa dan bergaya," katanya.