Monday, April 04, 2011

Cetak rompak meningkat 300 peratus


Cetak rompak meningkat 300 peratus

04/04/2011 3:09pm

KUANTAN - Jumlah kes yang membabitkan rampasan video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) cetak rompak di Pahang meningkat sebanyak 300 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang Mohd A. Aruwan Ab Aziz berkata, berdasarkan maklumat orang ramai, 33 kes diberkas membabitkan kesalahan menjual barangan VCD dan DVD cetak rompak berbanding 13 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya, daripada 33 kes atas kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan itu, sebanyak 9,671 unit pelbagai VCD dan DVD cetak rompak berjaya dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan RM48,355.
"Kebanyakan premis-premis tetap yang diperiksa itu mempunyai lesen yang sah bagi penjualan VCD dan DVD tetapi produk cetak rompak itu disimpan di tempat lain sebelum dikeluarkan mengikut permintaan pelanggan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
PPDNKK Pahang katanya turut berjaya mengesan dua kes yang membabitkan kesalahan bawah Akta Hakcipta 1987 yang membabitkan rampasan 3,135 keping VCD dan DVD yang bernilai RM15,675 bagi tempoh yang sama.
Katanya jumlah rampasan itu juga menunjukkan peningkatan berbanding 69 keping dengan nilai anggaran RM690 dari dua kes yang dikesan Januari hingga Mac tahun lepas.
Menurutnya kesemua kes berkenaan telah dan akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut. - Bernama