Monday, April 04, 2011

Kejutan Nur Shahida

Kejutan Nur Shahida

NUR SHAHIDA gembira selepas menjuarai Kejohanan Jet Ski Jemputan Dunia 2011 di Pulau Duyong semalam.


KEJUTAN besar berlaku pada Kejo- hanan Jet Ski Jemputan Dunia 2011 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu semalam apabila pelumba wanita negara, Nur Shahida Mohd. Noor muncul juara bagi kategori Runabout Terbuka Wanita.
Kejayaan pelumba dari pasukan Kelab Marina Terengganu (CTM) itu hadir selepas dia mengatasi dua lagi pelumba negara, Aina Syazwani Yahya dan Mellisa Karina.
Lebih manis, Nur Shahida turut me- ngetepikan pelumba jet ski wanita No. 1 dunia, Amy Green dari Amerika Syarikat yang sekadar berkedudukan ketujuh selepas mengalami masalah teknikal.
Pada aksi akhir semalam, pelumba negara berusia 20 tahun itu berjaya mengungguli perlumbaan empat pusi- ngan dengan mengumpul 233 mata, manakala Aina dan Mellisa masing- masing berpuas hati dengan 197 dan 188 mata.
"Sebelum turun pada perlumbaan hari ini (semalam), saya akui peluang untuk saya menang hanyalah 50 peratus sahaja. Tambahan pula, saingan tahun ini begitu sengit dengan keha- diran Amy yang juga juara dunia.
"Bagaimanapun, selepas menyedari Amy gagal meneruskan perlumbaan akibat masalah teknikal, semangat saya semakin bertambah dan berjaya mengekalkan rentak untuk menamatkan perlumbaan," katanya yang membuat penampilan sulung pada kejohanan ini.
Dalam pada itu, kategori Runabout Terbuka Expert turut menyaksikan penguasaan negara apabila mengungguli kedudukan 1-2 menerusi Ahmad Dawi Alias dan Chia Boon Choy.
Ahmad mengumpul keseluruhan 216 mata untuk muncul juara, hanya dua mata mengatasi Chia Boon Choy, manakala pelumba Jepun, Masava Inovo berada di tempat ketiga dengan 189 mata.
Kategori Runabout Novice 4-Stroke pula menyaksikan seorang lagi pelumba negara, Byran Chia Wai Yuen muncul juara selepas menewaskan pencabar dari Indonesia, Aqsa Sujan Aswak.
Byran selesa menjuarai kategori itu selepas mengumpul 233 mata, diikuti Aqsa dengan 214 dan Elerfton Clayton juga dari Malaysia di tempat ketiga dengan 180 mata.
Sementara itu, pelumba Finland, Pamcho Marjak mencuri tumpuan umum apabila menjuarai dua gelaran masing-masing bagi kategori Runabout Pro-Am Stock dan Runabout Terbuka Pro.
Kejohanan Jet Ski Jemputan Dunia 2011 yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 April lalu merupakan kejohanan jet ski terbesar di negara yang turut menghimpunkan pelumba-pelumba terbaik dunia.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Jepun, Amerika, Perancis, Kanada, Finland, Britain, Brunei, Thailand, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah.