Wednesday, April 13, 2011

Thongchai idam gelaran hatrik




THONGCHAI berazam mencipta kejayaan hatrik pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2011 yang bermula esok hingga 17 April ini.


SEKALIPUN terpaksa bersaing dengan ramai pemain handalan termasuk bertaraf dunia, pemain Asia tetap berpeluang menjuarai Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2011.
Demikian jelas jaguh Thailand, Thongchai Jaidee menjelang Terbuka Malaysia 2011 yang akan membuka tirainya esok hingga 17 April ini.
"Apa saja boleh berlaku dalam golf. Jelajah Asia menampilkan ramai pemain handalan dari Asia. Cuaca dan keadaan padang juga lebih serasi dengan kami.
"Saya sendiri akan mencuba sedaya upaya untuk menang dan berharap pemain Asia akan muncul sebagai juara minggu ini," kata Thongchai pada sesi bertemu pemain di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara semalam.
Antara pemain yang menyertai kejohanan edisi ke-50 itu ialah juara Masters Amerika Syarikat, Charl Schwartzel dan juara Terbuka Britain, Louis Oosthuizen kedua-duanya dari Afrika Selatan.
Mereka akan diiringi pemain No. 1 dunia dan juara Kejohanan PGA, Martin Kaymer dari Jerman serta pemain No. 9 dunia, Rory McIlroy (Ireland Utara).
Thongchai berkata, setelah pulih daripada kecederaan belakang, dia kini lebih bersedia untuk bersaing pada Terbuka Malaysia.
Pemain yang menjuarai Terbuka Malaysia pada 2004 dan 2005 ini di masukkan ke hospital selama sembilan hari setelah mengalami kecederaan semasa menyertai kejohanan Avantha Masters di India, Februari lalu.
Sementara itu, pemain remaja Itali, Matteo Manassero berkata, dia ingin melakar sesuatu yang menarik pada Terbuka Malaysia yang julung kali disertainya pada tahun ini.
"Ramai pemain muda mempamerkan persembahan baik pada kejohanan Masters dan saya berbangga dengan kejayaan yang kami capai setakat ini.
"Melihat Noh (Seungyul dari Korea Selatan) mencapai kemenangan pada tahun lepas, sungguh menggembirakan saya dan saya berharap untuk mencapainya pada tahun ini," kata pemain berusia 17 tahun itu.
Seungyul muncul pemain termuda menjuarai Terbuka Malaysia ketika berusia 18 tahun setelah mencatat birdie pada lubang terakhir untuk menewaskan pemain berpengalaman, K.J. Choi.
Manassero merangkul gelaran juara Jelajah Eropah pada Castello Masters Costa Azahar di Valencia, Sepanyol, Oktober tahun lepas dan kini menduduki ranking ke-57 dunia.
Terbuka Malaysia edisi ke-50 yang menawarkan hadiah AS$2.5 juta (RM8 juta) akan disertai 156 pemain.