Wednesday, April 13, 2011

Penguin berkurangan di Afrika Selatan




PENGUIN Afrika kini tersenarai sebagai salah satu daripada 18 spesies penguin terancam di dunia.


SAMBIL berjalan terkedek-kedek di atas batu besar dan menjunam ke dalam lautan berwarna firus, lensa kamera pelancong-pelancong bersiap sedia merakam gambar penguin di Afrika Selatan.
Burung laut berwarna hitam putih dan berkaki pendek itu merupakan tarikan utama di bandar Simon yang juga sebuah perkampungan tentera laut di Cape Town.
Bagaimanapun, angka burung laut yang menarik perhatian orang ramai itu semakin berkurangan sehingga menimbulkan kebimbangan ia petunjuk kepada ancaman lebih menakutkan berkenaan keadaan marin.
“Penguin Afrika semakin berkurangan sehingga 60 peratus sejak tahun 2004. Ia membuatkan kami berasa amat bimbang berhubung perkembangan ini,” kata Lorien Pichegru dari Institut Percy FitzPatrick Ornitologi Afrika Selatan.
“Kini hanya terdapat kira-kira 26,000 pasangan penguin yang masih wujud dan ia merupakan catatan paling rendah pernah direkod setakat ini. Pada permulaan kurun ke-20 kita mempunyai lebih dua juta burung berkenaan,” ujarnya lagi.
Ahli-ahli sains menjadikan penguin sebagai salah satu spesies petunjuk yang mudah untuk memantau dan boleh menunjukkan masalah-masalah tersembunyi serta lebih luas di lautan.
Spesies terancam
Pada tahun lalu, penguin Afrika diklasifikasikan semula sebagai spesies terancam selepas angkanya semakin menurun. Ia mungkin disebabkan akibat kekurangan sumber makanan kerana aktiviti perikanan selain pencemaran.
Burung yang tidak boleh terbang dan berwarna seakan pakaian kot serta berjalan dengan agak lucu itu mendapat sumber makanan dengan menikmati ikan bilis dan sardin. Ia hanya membiak di selatan Namibia dan Afrika Selatan.
Perubahan corak kehidupan ikan telah memaksa burung-burung itu mengembara lebih jauh semata-mata untuk mendapat sumber makanan dan mendirikan kawasan sarang baru seperti di Pantai Boulders, bandar Simon.
Pada tahun 1980-an pasangan burung berkenaan telah berhijrah ke pantai tersebut dan kembali ke Pulau Robben yang terkenal kerana merupakan lokasi penjara tahanan Nelson Mandela.

HANYA sekitar 26,000 pasangan penguin kini terdapat di Afrika Selatan.


“Makanan merupakan salah satu daripada ancaman besar,” kata Rob Crawford dari Jabatan Perhubungan Alam Sekitar Afrika Selatan sambil menunjukkan laluan migrasi sardin sejauh 600 kilometer.
“Penguin tidak boleh berenang terlalu jauh untuk memberi makanan kepada anaknya dan pada penghujung pembiakan ia memerlukan makanan bagi bersalin bulu,” katanya.
Organisasi Kehidupan Burung Antarabangsa memberi amaran bahawa penguin Afrika yang merupakan antara 18 spesies penguin di seluruh dunia kini berdepan dengan kepupusan.
Bagi menghentikan perkembangan itu, satu penyelidikan mengenai kesan perubahan cuaca dan kemungkinan zon tidak boleh menangkap ikan di sepanjang koloni pulau tersebut telah dilaksanakan dengan segera.
Larangan menunda sejauh 20 kilometer telah dilaksanakan sekitar koloni terbesar dunia di Pulau St. Croix di Teluk Algoa, Timur Cape Town.
Ia sekali gus membenarkan tiga per empat daripada burung-burung yang terdapat di kawasan itu berhenti daripada mengembara terlalu jauh mencari sumber makanan.
Populasi sihat burung laut tersebut mampu menahan serangan terhadap telurnya daripada burung camar dan pemburu seperti anjing laut, kucing, anjing dan pemangsa liar lain.
Bagaimanapun, kebimbangan berdepan populasi burung berkenaan memberi implikasi bahawa setiap individu dilihat sebagai kritikal manakala penguin yang terkena minyak, menghadapi kecederaan dan anak penguin terbiar akan diselamatkan.
Pada tahun lalu, sebanyak 49 anak penguin telah diterbangkan dari Pulau Algoa disebabkan ancaman cuaca sejuk.
“Pemulihan itu berjaya kerana burung-burung tersebut kelihatan sangat lincah dan mampu hidup selepas dibebaskan,” kata Ketua Pertubuhan Pemuliharaan Burung-Burung Perairan Pantai Afrika Selatan, Venessa Strauss kepada AFP.
Pertubuhan berpangkalan di Cape Town itu telah merawat sebanyak 1,000 penguin setahun termasuk 500 burung yang terkena tumpahan minyak.
“Ia lebih besar daripada penguin. Ia berkaitan kesihatan ekosistem marin kita,” kata Strauss.
“Banyak tumpuan diberikan kepada penguin tetapi hakikatnya ia berkaitan ekosistem kita. Ekosistem laut menerima kesan dan penguin hanya memberitahu sebahagian daripada cerita sebenar,” katanya. – AFP