Wednesday, April 13, 2011

'Saya tidak kebal'



NADAL mengakui yang dia masih boleh dikalahkan meskipun bermain di gelanggang tanah liat.



MONTE CARLO Rafael Nadal yang memburu gelaran ketujuh mengakui dia bukan pemain 'kebal' di gelanggang tanah liat pada Kejohanan Tenis Monte Carlo Masters.
"Saya mungkin memiliki kelebihan apabila bermain di gelanggang tanah liat," kata pemain No. 1 dunia dari Sepanyol yang memiliki rekod 34-1 pada kejohanan ini.
Satu-satunya kekalahan Nadal adalah pada pusingan ketiga pada penampilan pertama tahun 2003 lalu.
Sejak itu, dia meneruskan kehebatan dengan memenangi 32 perlawanan perturut-turut dan menjadi pemain tunggal sejak era Terbuka diperkenalkan pada tahun 1968 untuk memenangi enam gelaran berturut-turut dalam satu kejohanan.
"Tetapi saya tidak fikir bahawa saya adalah pemain yang tidak boleh dikalahkan.
"Saya sedar saya akan tewas juga," kata Nadal yang akan memulakan saingan pada pusingan kedua selepas mendapat bye pada pusingan pertama.
Pada aksi pertama nanti, Nadal bakal bertemu pemain Finland, Jarkko Nieminen yang menewaskan pemain Perancis, Julien Benneteau 4-6, 6-3, 7-6 (7/3).
Pada sesi latihan semalam, Nadal bermain dengan Andy Murray dan pemain Scotland itu pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mengenai Nadal secara lebih dekat.
Ini kerana, Murray berazam untuk memperbaiki persembahan selepas tewas empat kali berturut- turut pada tahun 2011.
Nadal berkata, kejayaan memenangi kesemua empat kejohanan di gelanggang tanah liat tahun lalu tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghadapi saingan musim ini.
"Mungkin saya menampilkan corak permainan tenis yang terbaik di sini. Ia adalah suatu permulaan musim itu sebelum saya bermain lebih baik di gelanggang tanah liat di Rom dan Madrid." - AFP