Wednesday, April 13, 2011

SMK Puchong cemerlang kerana gigih




NOOR HIAKMAH (duduk tiga dari kiri) dan Arman Ali (tengah) ceria bergembira bersama para pelajar cemerlang selepas Majlis Anugerah Cemerlang 2011 di SMK Puchong, Batu 14, Puchong baru-baru ini.


CEMERLANG. Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong, Batu 14, Noor Hiakmah Hamid dan warga sekolah itu mempunyai sebab untuk berbangga.
Apa tidaknya, sebanyak 42 pelajarnya mencatatkan prestasi cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2010.
Sebanyak 20 pelajar memperoleh 8A dalam PMR (daripada 26 cemerlang), seorang 11A dan tiga 9A dalam SPM (daripada 11 cemerlang) dan seorang 4A dalam STPM (daripada lima cemerlang).
Mengulas pencapaian itu, Noor Hiakmah memberitahu, ia merupakan peningkatan sebanyak 10.2 peratus bagi PMR dan 15.9 peratus bagi SPM.
"Pencapaian terbaik sejak sekolah ini dibuka pada 1975 adalah hasil kerja keras warga sekolah terutama para guru selain usaha gigih para pelajarnya untuk mencapai keputusan cemerlang," katanya.
Bagi menghargai kejayaan para pelajar itu, pihak sekolah telah menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang 2011 di sekolah itu baru-baru ini yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru SMK Puchong, Arman Ali Roshid Ali.