
BUTTON (kiri) dan Hamilton berazam untuk meningkatkan persembahan pada GP China penghujung minggu ini.
LONDON - Pemandu McLaren, Jenson Button dari Britain mengakui, perebutan gelaran juara dunia masih terbuka dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Pada masa yang sama, Button akur dengan kehebatan pencabar utama, Sebastian Vettel dari Red Bull Racing.
Vettel melakukan permulaan yang menarik dalam usahanya untuk mempertahankan gelaran juara yang dimenangi tahun lalu dengan menjuarai perlumbaan pada Grand Prix (GP) Australia dan Malaysia, sekali gus mengumpul maksimum 50 mata.
Manakala Button, 31, berpuas hati selepas berjaya menduduki tempat kedua di Malaysia untuk ketinggalan 24 mata di belakang Vettel.
Bagaimanapun, dengan baki 425 mata untuk dimenangi, Button mengakui peluang masih terbuka dengan luas.
"Buat masa ini, saya akui Vettel adalah seorang pemandu yang hebat," kata Button.
"Dia memenang kedua-dua perlumbaan pertama musim ini dan tidak ada sesiapa yang berjaya menampilkan aksi yang konsisten.
"Dia mendahului dengan kelebihan 24 mata dan jumlah mata itu sangat besar selepas dua perlumbaan. Bagaimanapun, masih ada 17 atau 18 perlumbaan untuk dilalui musim ini.
"Sudah tentu, persembahan Red Bull sangat baik. Berdasar pada persembahan, saya rasa pasukan McLaren adalah yang kedua terbaik tetapi kami masih perlu meningkatkan persembahan.
"Ini adalah landasan yang tepat. Kami teah berjaya melakukan beberapa pembaharuan dan berharap di China, kami akan melakukan satu perlumbaan yang menarik." - Agensi