![]() |
CARROLL berjaya meledak gol sulung sejak berpindah ke Liverpool pada Januari lalu. |
LIVERPOOL - Andy Carroll meledak dua gol untuk Liverpool ketika menewaskan Manchester City 3-0 dalam saingan Liga Perdana England di Anfield awal pagi semalam.
Kemenangan itu kembali menghidupkan peluang skuad The Reds untuk melayakkan diri ke saingan Liga Europa musim depan.
Carroll yang muncul pemain termahal di Britain selepas berhijrah dari Newcastle United pada Januari lalu, melakukan rembatan kencang untuk gol pertama Liverpool pada minit ke-13 sebelum tandukan cantiknya menghasilkan gol ketiga minit ke-35.
Manakala satu lagi gol Liverpool dijaringkan Dirk Kuyt pada minit ke-34.
"Gol pertama Carroll menerusi rembatan yang cukup kencang, manakala gol keduanya hasil tandukan yang sempurna. Ia membuktikan dia seorang penyerang berbahaya.
"Carroll telah berjaya menjaringkan gol pertamanya di Anfield dan secara keseluruhan, saya anggap ini suatu persembahan yang cukup memuaskan daripada semua pemain," kata pengurus Liverpool, Kenny Daglish.
Kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan kesembilan berturut- turut buat Liverpool ketika berdepan City di Anfield.
Liverpool kekal menghuni tangga keenam tetapi kini hanya ketinggalan lima mata berbanding Tottenham Hotspur yang berada di tangga kelima, dalam usaha mereka memburu slot ke Liga Europa.
City pula kekal di tangga keempat tetapi kekalahan kepada Liverpool itu menyaksikan mereka hanya berkelebihan tiga mata berbanding Tottenham untuk merebut slot terakhir ke Liga Juara-Juara.
"Saya rasa kami memang benar-benar layak untuk mencipta kemenangan pada perlawanan ini.
"Cara kami melaksanakan tugas menjadi sebab mengapa pujian wajar diberikan kepada pasukan dan kelab ini," jelas Dalglish. - Agensi