![]() |
AMMAR SINGH menunjukkan sebahagian daripada kad kredit yang dirampas pada sidang akhbar di Cheras semalam. |
KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan kad kredit melibatkan kerugian mencecah RM1 juta berjaya ditumpaskan apabila 13 ahli sindiket termasuk tujuh posmen diberkas dalam satu operasi baru-baru ini.
Kegiatan sindiket yang aktif sejak 2009 itu terbongkar apabila seorang wanita membuat laporan polis mendakwa kad kredit miliknya yang dihantar oleh sebuah bank hilang dipercayai dicuri ketika berada di Pejabat Pos Taman Shamelin, Cheras pada 1 April lalu.
Sebelum itu, pihak pejabat pos menghubungi mangsa memaklumkan terdapat seorang lelaki menggunakan kad pengenalan disyaki palsu atas nama mangsa untuk menuntut surat yang berisi kad kredit di pejabat pos itu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ammar Singh Ishar Singh berkata, suspek yang menunggu untuk mendapat sampul kad kredit itu diberkas di pejabat pos itu selepas pihak pejabat pos menghubungi polis.
“Polis yang memeriksa kereta suspek menemui 10 keping kad kredit pelbagai bank disyaki palsu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.