KUALA LUMPUR - Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, selaras dengan tekad Pelan Integriti Nasional, kerajaan telah menaik taraf Badan Pencegah Rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menubuhkan lembaga penasihat, panel dan jawatankuasa untuk menasihati dan memantau perjalanan SPRM agar wujud ketelusan dan kebebasan dalam usaha memerangi rasuah.
Selain itu, Integrity Pact diperkenalkan dalam sistem perolehan kerajaan serta e-perolehan untuk mewujudkan ketelusan dalam pemberian tender dan kontrak kerajaan, katanya ketika menutup Pertandingan Pidato Integriti antara Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi Piala Menteri Pelajaran di Institut Integriti Malaysia di sini semalam.