Saturday, April 16, 2011

RM6 seminggu isi lapan mulut




E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BACHOK: Seorang bapa enam anak dihimpit kemiskinan apabila hanya mampu memperoleh pendapatan RM6 seminggu menerusi pekerjaan mengambil upah menggulung sarung getah untuk dijadikan belon.

Ashari Awang Besar, 46, berkata kadangkala pendapatannya tidak menentu kerana pekerjaan yang dilakukan bersama isterinya, Sapiah Awang Ahmad, 48, itu bergantung kepada jumlah gulungan sarung getah yang berjaya dikumpul.

“Upah menggulung sarung getah itu tidaklah seberapa. Jika dapat gulung satu kilogram (kg), dapatlah RM1.

“Kebiasaannya saya dan isteri hanya mampu mengumpul 6 kg gulungan sarung getah seminggu menjadikan pendapatan kami hanya RM6 sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.


Menurut Ashari, sebelum ini dia bekerja sebagai nelayan beberapa tahun lalu, tetapi selepas terbabit dengan tragedi bot terbalik yang hampir meragut nyawanya, dia trauma untuk melakukan pekerjaan itu semula.

“Selepas meninggalkan pekerjaan sebagai nelayan, saya bekerja sebagai buruh di Pasir Tumbuh, dekat sini. Bagaimanapun, terpaksa berhenti sejak enam minggu lalu kerana tiada kenderaan.

“Satu-satunya motosikal yang saya ada terpaksa diberi kepada anak untuk digunakan ke sekolah,” katanya.


Ashari berkata, dia terpaksa berkorban memberikan motosikal itu kepada anaknya, Nor Atikah, 16, kerana bimbang dengan keselamatan anaknya itu.

“Sebelum ini, saya menghantarnya ke sekolah dan dia pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Bagaimanapun, anak saya mendakwa sering diganggu seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Bimbang dengan keselamatannya, saya berkorban memberikannya motosikal untuk digunakan ketika pergi dan balik sekolah,” katanya.