Saturday, April 16, 2011

Dilenyek treler



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEREMBAN: Seorang penjual ais krim terkorban dalam keadaan tragik apabila kepalanya hancur selepas terperosok di bawah treler sebelum digilis sejauh kira-kira 50 meter dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Putus di sini, kelmarin.
Lebih memilukan apabila mangsa, Muhammad Salis, 32, ketika itu dikatakan baru selesai berniaga di sekitar Kuala Pilah dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seremban Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki warga Pakistan berkenaan menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara bersendirian.

Jurucakap polis berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mahu memotong sebuah treler membawa muatan serbuk besi.

“Bagaimanapun, mangsa gagal memotong kenderaan berat itu lalu bergesel dengan sebuah van Nissan Vannete dari arah bertentangan menyebabkan mangsa hilang kawalan.

“Mangsa kemudian terperosok di bawah tayar treler berkenaan lalu digilis bersama motosikal ditunggangnya sejauh kira-kira 50 meter,” katanya, semalam.


Menurutnya, pemandu treler berusia 40-an itu segera memberhentikan kenderaannya dan mangsa didapati sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati kepala mangsa sudah hancur dan pecah. Selain itu, keadaan tubuhnya mengalami kesan kecederaan teruk.

“Pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan berkenaan hanya mengalami kerosakan berikutan tayar belakang kanannya pecah.

“Selain itu, kita mendapati pemandu van berusia 40-an tidak cedera,” katanya.

Kata jurucakap itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. “Jenazah Allahyarham dituntut warisnya di Bilik Mayat HTJS, tengah hari tadi (semalam) dan kita sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Faizrizarima Mohd Fauzi di talian             06-6033394      .