SINGAPURA 15 April - Seorang lelaki rakyat Malaysia dijatuhi hukuman gantung sampai mati, semalam selepas disabit kesalahan menyeludup dadah ke Singapura, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh AFP, hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Chan Seng Onn menjatuhi hukuman tersebut ke atas Dinesh Pillai Raja Retnam, selepas mendapati dia bersalah menyeludup 19.35 gram dadah jenis heroin ke republik ini.
Keputusan tersebut dibuat seminggu selepas mahkamah menolak rayuan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lagi rakyat Malaysia, Yong Vui Kong, 23, kerana menyeludup 47 gram heroin ke negara ini pada 2007.
"Tertuduh didapati bersalah seperti yang didakwa dan dikenakan hukuman mati," jelas Seng Onn dalam keputusannya.
Dinesh ditahan pegawai narkotik Singapura pada 2009 bersama-sama sebungkus heroin, selepas dia dijanjikan bayaran berjumlah AS$67 (RM201) untuk menyerahkan paket tersebut kepada seseorang yang tidak dikenalinya. - AFP