![]() |
MOHD. Saiful Nizam Ismail dan Khairul Noormaidah Zali serasi dalam setiap aktiviti sama ada ketika di dapur atau menghias halaman rumah. |
HAMPIR 11 bulan mereka membina mahligai bahagia dan melayari bahtera sebagai suami isteri. Ternyata kehidupan itu berbeza berbanding hari-hari yang pernah dilalui sebelum ini.
Detik baru dalam kehidupan pasangan selebriti ini bermula apabila mereka dinikahkan pada 4 Jun tahun lalu di rumah keluarga pengantin perempuan di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.
Tidak keterlaluan jika dinyatakan pasangan yang sama padan ini dilihat begitu serasi antara satu sama lain ketika ditemui di Rawang, baru-baru ini.
Menyingkap kisah cinta antara mereka ternyata ia merupakan satu rentetan yang menarik untuk dikongsi bersama.
Bagi Wartawan Eksekutif Penyiaran dan penyampai berita Buletin Utama TV3, Mohd. Saiful Nizam Ismail, 28, dan pasangannya, juara rancangan realiti Gadis Melayu pertama, Khairul Noormaidah Zali, 26, mereka sendiri tidak menyangka akhirnya akan disatukan sebagai suami isteri.
Ini kerana menurut Mohd. Saiful atau lebih mesra disapa Saiful, dia terpaut dengan Khairul Noormaidah atau lebih dikenali sebagai Aida bukanlah kerana sifat lemah lembutnya mahupun sopan perilakunya tetapi segala-galanya bermula akibat salah faham.
Ulas anak kelahiran Changlun, Kedah, ini lagi, salah faham yang dimaksudkan adalah berkaitan sebuah hadis yang pernah dibaca oleh Aida yang dirasakannya salah pada pendengarannya ketika itu.
''Waktu itu saya menonton program Wanita Hari ini (WHI) dan terdengar hadis yang dibaca oleh Aida dan pada pendengaran saya ia salah dan kebetulan pula hadis tersebut juga merupakan hadis kegemaran saya.
''Tanpa membuang masa saya terus menghubungi salah seorang rakan saya untuk mendapatkan nombor telefon Aida dengan niat untuk menegurnya.
''Tapi siapa sangka, bermula dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang hanya dibalas 'terima kasih' seterusnya menghubunginya (Aida), akhirnya hubungan kami berakhir di jenjang pelamin,'' ujarnya sambil tersenyum.
Bercerita mengenai keistimewaan yang ada pada Saiful sehingga berjaya 'mencuit' hati gadis kelahiran Kuantan, Pahang ini pula, jelas Aida, sifat jujur dan sikap yang berterus terang menjadi penanda aras buatnya.
Selain itu, Saiful juga merupakan seorang suami yang sangat memahami dan juga pandai mengambil hati seluruh ahli keluarganya.
Bagaimanapun bercerita lanjut mengenai pertemuannya dengan Saiful, menurut Aida, dia pernah menghubungi Saiful ketika dia menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah.
Ketika itu, e-mel yang dihantar hanya berbalas 'ok' dan seterusnya senyap begitu sahaja.
''Bayangkan saya telah berjanji dengan pensyarah saya ketika itu untuk menyiapkan tugasan yang diberi dan tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Saiful.
''Waktu itu Tuhan saja yang tahu dan akhirnya saya sendiri tidak menyangka akan berkawan seterusnya berkahwin dengan orang yang pernah saya hubungi satu ketika dahulu,'' tambah anak ketiga daripada sembilan adik-beradik ini lagi.
Itulah yang dinamakan takdir dan sememangnya jodoh telah ditetapkan-Nya.
Dan siapa sangka, bermula hanya dengan teguran, seterusnya berkawan dan akhirnya berkesudahan di jenjang pelamin.
Pasangan yang romantik ini berharap agar perjalanan hidup mereka kekal hingga ke akhir hayat.