Saturday, April 16, 2011

Realistik jadi popular






DIVA dan glamor, itu dua predikat yang cukup dekat dengan diri Jennifer Lopez atau dikenali dunia juga dengan nama J.Lo.
Anak kepada pasangan guru tadika dan juruteknik komputer yang mula menceburi bidang hiburan seawal usia 19 tahun ini didakwa selalu membuat permintaan di luar jangkaan.
Menurut beberapa laporan, kebanyakan pihak yang pernah bekerja dengannya, Lopez didakwa selalu meminta disediakan bilik serba putih bersama lilin khas daripada Jo Malone dan makanan khas selain dikatakan pernah meminta diterbangkan dengan jet persendirian untuk sesi fotografi.
Lopez yang memulakan kariernya sebagai penari sebelum mencipta nama dalam bidang lakonan dan sukses luar biasa melalui bakat nyanyiannya dengan menjual berjuta-juta unit album di seluruh dunia setiap kali dia muncul dengan album baharu itu juga akan memastikan semua permintaannya dipenuhi sebelum dia berlepas untuk melakukan sesuatu lawatan atau persembahan.
Cukup hangat dengan jawatan pengkritik American Idol 10 dan muncul dengan album terbaharunya,Love?, dia mengaku gelaran tersebut mempunyai dua makna buat dirinya.
Pada satu sisi, dia suka digelar diva. Sisi lain pula, tidak digemarinya.
Kata Lopez: "Saya agak menyukainya. Saya suka kalau orang memanggil saya dengan gelaran diva yang positif. Bukan diva yang berkelakuan diva, seperti yang banyak orang lemparkan ia kepada saya sejak dulu lagi."
Bintang yang mempunyai rangkaian produk tersendiri seperti wangian dan pakaian ini kemudian mendefinisikan hal diva yang dikaitkan dengan dirinya berbalik kepada soal populariti yang dikecapi sejak dulu.
Menurut Lopez yang masih berada dalam kelas A bintang Hollywood, apabila dia menjadi semakin popular, dunia realiti bagi dirinya semakin mengecil.
"Kalau ada artis yang mengatakan kehidupan mereka sama seperti orang biasa, mereka penipu. Semakin kita popular, semakin kita diperhatikan dan diberi layanan yang istimewa sehingga kita dikatakan sebagai berlagak atau diva.
WANITA ini memulakan kariernya seawal usia belasan tahun sebagai penari.


"Saya telah hidup di dalam industri ini selama lebih 20 tahun dan saya sudah melalui semua hal seperti tidak lagi pernah membuka pintu atau beratur untuk diri sendiri tetapi semua diberi layanan yang istimewa oleh orang lain hanya kerana saya seorang bintang.
"Saya telah melaluinya semua. Tetapi saya akan terus berpijak di atas bumi yang nyata. Ya, mungkin satu masa dahulu, saya berasakan popular dan meminta-minta itu perlu, tetapi kini tidak lagi. Saya lebih selesa untuk hidup serba sederhana kerana Tuhan telah memberikan saya semua hal yang istimewa selama ini," katanya serius.
Polos di rumah
Memang cukup terkenal sebagai wanita yang tidak pernah lekang daripada solekan dan glamor dunia hiburan, Lopez memberitahu dunia dia di rumah dengan di atas pentas adalah amat berbeza.
Bagaimanapun kata Lopez, adalah satu kewajipan baginya untuk sentiasa tampil menawan di hadapan umum. "Itu (cantik) adalah sebahagian daripada kerja saya," katanya ringkas.
Tetapi di rumah, sebagai isteri kepada Marc Anthony dan ibu kepada sepasang kembar, Emme Maribel Muñiz (Emme) dan Maximilian David Muñiz (Max), 3, dia hanya seorang suri rumah tangga yang biasa tanpa sebarang solekan atau imej glamor.
"Sebenarnya saya lebih senang begitu (tanpa solekan). Jadi saya bebas untuk bermain dengan rambut atau muka tanpa berasa bimbang saya akan merosakkan solekan dan dandanan yang telah dihias," katanya jujur.
PERKAHWINAN dengan Marc Anthony dikurniakan sepasang kembar bernama Emme dan Max.


Teruja berkongsi cerita tentang rutin bersama anak-anaknya, Lopez memberitahu, Emme dilihat mempunyai potensi untuk menjadi seperti dirinya apabila dewasa kelak.
Katanya: "Saya dapat merasakan Emme akan menjadi seperti saya. Dia sukakan kecantikan. Selalu dia meminta saya mewarnakan kukunya dan bijak menyuai padan baju yang mahu dipakai."
Sementara Max pula kata Lopez, agak keliru dengan kecantikan. "Dia kadangkala mahu ikut mewarnakan kuku, tapi tidak tahu mengapa perlu mewarnakannya. Jadi dia akan pilih warna mengikut sesuka hati dan lari sebelum semua kuku habis diwarnakan, " katanya ketawa.
Ditanya bagaimana dia menjaga kesejahteraan rumah tangga bersama Marc memandangkan dia pernah gagal dalam dua perkahwinan sebelum ini, Lopez memberitahu mencintai dan menghormati pasangan dengan sepenuh hati adalah kunci dia dan Marc bahagia.
"Banyak orang cepat berputus asa dengan hubungan mereka. Saya telah melalui pengalaman kegagalan rumah tangga dua kali, dan kali ini saya mengambil serius semua hal tentang rumah tangga saya.
"Memang tidak mudah, tetapi kami saling berkongsi semua hal bersama dan mengharungi dugaan bersama-sama. Apa yang boleh saya katakan, semua tentang perkahwinan kami adalah cukup membahagiakan. Kami saling menghormati dan mencintai satu sama lain dengan sepenuh hati, bukan berbuat demikian hanya pada dasar," katanya yang cukup terharu kerana sering ditatang bagai minyak yang penuh oleh suaminya, Marc.