![]() |
MINHO |
Mereka ini bukan ahli sukan namun mempunyai tahap stamina, kecergasan dan daya tahan mengatasi pencabar yang jauh lebih berkelayakan.
Program realiti yang menggabungkan bintang lelaki Korea terdiri daripada penyanyi, pelakon dan pelawak, bersaing sesama sendiri dan dengan pencabar berlainan setiap minggu mencari pemenang terpantas yang berjaya melepasi halangan berbeza, kini ditayangkan di saluran Astro 391.
Walaupun bukan program komedi, menonton lagak dan aksi artis ini berusaha melepasi halangan cukup menghiburkan dan membuatkan penonton tidak kering gusi.
Ini kerana dalam persaingan untuk ke garisan penamat, ada yang terkandas dan tersingkir daripada perlumbaan. Namun hos program tidak akan memberi muka kepada sesiapa pun dengan mendengar alasan mereka.
Jika ada yang cuba memberi alasan, mereka akan dicop terkena Penyakit Sangchu - mengambil sempena nama penyanyi rap itu yang pernah menjadi hero pasukan Dream Team tetapi sering tewas sejak kemunculan aktor kacak Ricky dan pelawak Byeongman.
Apa yang mahu didengar oleh hos rancangan ini adalah kata-kata merendah diri dan cepat mengakui kesilapan. Jika kata-kata itu yang diluahkan, hos dan rakan sepasukan lain dengan cepat akan memberi kata-kata semangat.
Sebenarnya apabila bercakap tentang gelombang Korea (Korean Wave), tidak lengkap kalau tidak menyentuh mengenai program realiti televisyen mereka.
Sewaktu demam Korea mula melanda negara Asia, program realiti X-man yang mencabar artis termasuk dalam sukan gusti tradisional, cukup popular. Rata-rata semua artis yang kini bertaraf bintang tersohor negara itu pernah muncul dalam program berkenaan.
Begitu juga dengan Lets Go, Dream Team! yang sudah bersiaran sejak 1999, pernah menampilkan bintang seperti Jo SungMo, Rain, Gosu, Kwon SangWoo, Soh JiSup dan mendiang Park YongHa.
Ini kerana, cabaran menjadi artis di negara Asia Timur itu tidak semudah di negara lain. Saingan sengit industri hiburan dengan kemunculan artis baru hampir saban hari menyebabkan mereka terpaksa menonjolkan kebolehan dalam pelbagai bidang - tidak cukup dengan bakat menyanyi, menari atau berlakon sahaja!
Minho daripada SHINee misalnya menjadi cukup popular sejak tampil sebagai anggota tetap Dream Team. Anak pemain bola sepak Choi Yoon Gyum ini bukan sahaja kacak bahkan hebat dalam apa jua bidang sukan yang dipertandingkan.
Sebenarnya, tahap populariti seseorang artis atau selebriti di Korea, banyak bergantung pada kemunculan mereka dalam program-program sebegini. Menariknya, program realiti tersebut bukan sekadar hiburan malah membawa mesej tertentu.
Jika program realiti Invincible Youth (IY) - tentang tujuh artis wanita yang perlu tinggal di kampung dan mengusahakan sendiri kebun, menternak dan melakukan kerja rumah merupakan sebahagian promosi pertanian di Korea, Lets Go, Dream Team! pula bertujuan menggalakkan rakyatnya bersukan.
Ini kerana halangan yang perlu dilepasi memang cukup mencabar. Melompat bongkah berputar, menyeberangi jambatan berpusing dan dinding tanpa lantai, bergayut pada batang besi lalu meluncur serta melangkah silinder berpusing adalah antara halangannya. Ia tidak mudah sama sekali untuk dilakukan oleh orang yang tidak cergas apatah lagi tidak pernah bersenam.
Pasukan yang pernah mencabar Dream Team juga bukan calang-calang untuk dikalahkan. Antaranya pasukan bekas atlet Olimpik, anggota marin, penuntut sains sukan universiti, pasukan seni mempertahankan diri, Tim Juara Yamakashi dan banyak lagi. Grup Super Junior dan 2PM juga pernah mencabar pasukan Dream Team!
Menariknya program realiti ini berjaya memperkenalkan sukan kurang popular seperti memanah, ping pong dan Yamakashi selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Patutlah rakyat Korea begitu celik soal kesihatan dan begitu bersemangat untuk bersaing sesuai dengan slogan Lets Go, Dream Team! "Untuk membina masyarakat yang sentiasa mencuba sehabis baik dan menerima apa jua keputusan daripadanya".
Slogan itu yang diulang-ulang pada akhir program, sudah pasti lekat di minda penonton.
Jadi kalau anda rasa stres, penulis cadangkan supaya menonton rancangan ini. Sudah pasti stres anda hilang kerana anda akan jadi bersemangat atau setidak-tidaknya ketawa tak kering gusi!