KANGAR: Mayat seorang warga emas dipercayai mati lemas di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Teluk Jambu, Bintong, dekat sini, semalam.
Mangsa, Mahasa Abdullah, 77, yang menetap seorang diri di rumah berkenaan, ditemui terapung oleh anak lelakinya, Salleh Abu Bakar, 56, kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata mangsa dipercayai tergelincir ke dalam sungai berhampiran rumahnya petang kelmarin sebelum ditemui anak lelakinya.
“Anak lelaki yang berkunjung ke rumah ibunya mendapati mangsa tiada dan keluar mencari sebelum menemui mayat mangsa terapung di permukaan sungai.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTF, dekat sini.
Beliau berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berhubung penemuan mayat warga emas berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.