Sunday, April 10, 2011

Terpikat wanita berusia



CINTA tidak mengenal usia. Amil mengaku menyintai Salmah, wanita yang 30 tahun lebih tua daripadanya dengan sepenuh jiwa. – Gambar hiasan


“SEMUA ini kerja Tuhan,” ungkap Amil kepada Jurnal. Walaupun singkat pertemuan itu, banyak cerita sempat dikongsi terutama mengenai kompas hidupnya yang berubah selepas insiden pahit bersama bekas tunangnya, Ayu.
Ujar Amil, 26, ikatan suci itu putus setelah dia mengetahui kecurangan Ayu, 25, yang menjalin hubungan dengan seorang lelaki berusia bergelar Datuk.
“Pada mulanya enggan saya percaya cakap rakan-rakan. Maklumlah saya sudah berkawan dengan Ayu sejak di bangku sekolah menengah lagi. Saya sangat yakin pada kesetiaannya.
“Namun, apabila melihat sendiri kemesraan mereka dalam satu majlis orang kenamaan, saya akur dengan pilihannya,” katanya yang memutuskan tali pertunangan pada penghujung tahun lalu.
Seperti ada dendam dan perasaan ingin membuktikan dirinya lebih hebat daripada Ayu yang dapat menawan lelaki kenamaan, Amil mula berjinak-jinak dengan golongan korporat dan cinta wanita berprofil tinggi.
“Kebetulan ada seorang wanita berusia 56 tahun cuba memikat saya. Namanya Salmah. Dia sudah beberapa tahun kematian suami. Lihat pada usia, tentulah bekas tunang saya Ayu lebih cantik.
“Tetapi melihat kemesraan Salmah, saya berasa selesa dengannya. Apatah lagi hati saya sedang remuk pada masa itu,” cerita Amil yang menerima Salmah untuk mengisi kekosongan hatinya.
Amil tidak menolak tanggapan dia sering dilimpahi kemewahan. Disebabkan kedudukan kewangan Salmah begitu stabil, wanita itu tidak lokek untuk memberikan apa saja kepada kekasih mudanya itu.
Kemewahan
Bagaimanapun, Amil menafikan dia seorang lelaki kaki kikis dan gemar mengambil kesempatan ke atas Salmah.
“Mula-mula saya melayan Salmah kerana ingin membalas dendam terhadap perbuatan Ayu.
“Lama-kelamaan saya makin seronok bersama Salmah. Dia membelikan apa sahaja yang saya mahu, malah menyayangi saya sepenuh hati,” tambahnya.
Begitupun, kata Amil, dia tidak pernah menyentuh Salmah apatah untuk melakukan hubungan terlarang dengan wanita itu.
“Saya masih punya pegangan agama yang kuat, tak pernah terlintas untuk saya mengambil kesempatan atas kebaikan yang diberikan,” tuturnya yang pernah bersekolah di sebuah sebuah sekolah agama di Terengganu.
Pada masa yang sama, hubungan Amil dengan keluarga Salmah khususnya empat orang anak Salmah yang masih berusia belasan tahun semakin erat.
“Anak-anak Salmah menganggap saya seperti sebahagian daripada keluarga mereka. Kadangkala mereka memanggil saya dengan panggilan babah (abah) walaupun jurang usia kami tidak jauh berbeza,” cerita Amil berselang ketawa kecil.
Salmah mewarisi sepenuhnya harta dan kekayaan suaminya berikutan tiada waris lain yang tinggal.
Disebabkan lambakan wang, kedudukan dan kerjaya yang kukuh di bandar raya Kuala Lumpur itu, keinginan Salmah untuk berbelanja tidak terbatas.
“Pernah sekali Salmah ingin menghadiahkan saya sebuah kereta BMW 5 Series untuk menggantikan Perodua Myvi yang saya gunakan sekarang tapi saya tolak dengan baik,” ujar Amil yang enggan dilabel sebagai ‘anak ikan’ oleh rakan-rakan Salmah.
Bercerita tentang cinta dan kasih sayang, Amil akur dengan rentetan hidupnya dan percaya pada ketentuan Ilahi.
“Kalau memang jodoh saya dengan Salmah, saya terima dia seadanya,” katanya.
Apatah lagi Amil sudah biasa melihat pasangan berbeza usia, misalnya perkahwinan wanita tua di Hulu Terengganu, Wook Kundur, 106, dan pasangannya, Mohd. Nor Musa, 37. Begitu juga selebriti Madonna, 53, dan Jesus Luz, 25. Satu lagi pasangan selebriti ialah pelakon Joan Collins, 77, dan Percy Gibson, 45.
Tiada ibu
“Jarak usia ketiga-tiga pasangan itu ialah 69, 28, dan 32 tahun,” kata Amil. Mengimbas kenangan kehilangan ibu sejak berusia tujuh tahun, kata Amil, lompang yang terlekat di hatinya kini sedikit sebanyak telah terisi.
“Saya tidak sempat merasa kehangatan kasih sayang seorang ibu apabila arwah meninggal dunia akibat kanser usus,” tuturnya sambil menyeka empangan mata yang makin pecah berderai.
Amil tidak memandang Salmah sebagai pengganti ibunya sebaliknya corak kasih sayang yang diberikan ikhlas tanpa jemu oleh wanita itu berjaya mencairkan hati lelakinya.
Akui Amil, dia tidak pernah menyesal mengenali Salmah waima jarak usia mungkin membatasi hubungan mereka.
“Salmah baik orangnya dan tidak pernah menyakiti hati saya. Mungkin episod cinta saya akan berakhir dengan kegembiraan tetapi tidak mustahil juga kekecewaan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui,” tutur Amil.