SATU ketika, gerai dan restoran tom yam tumbuh macam cendawan lepas hujan. Di sana sini, makanan Thai begitu mudah diperoleh. Kemudian muncul restoran mamak siang dan malam. Apabila perut berkeroncong - sekalipun larut malam, tidak risau kerana restoran mamak masih belum menutup pintu dan menyusun kerusi meja, pelanggan juga masih ramai terutama di hujung minggu.
Bagaikan bermusim, kopitiam pula mengambil alih tempat menjadi trend semasa. Sama ada berkonsep kedai kopi Cina sebenar atau cuma mirip, kopitiam diterima baik kerana ia santai dan selesa.
Terkini, makanan Arab yang terkenal dengan beriani dan kambing semakin popular di kalangan masyarakat kita. Walaupun harganya agak mahal, keenakan sajian dari negara padang pasir itu menepati cita rasa orang kita.
Pengerusi D’Arab Cafe Kelana Jaya, Adnan Abdul Rahman, berkata jika dulu, peluang menikmati makanan Arab ialah ketika seseorang itu menunaikan haji atau umrah di Makkah, kini ia tersedia di negara ini.
“Orang kita mengenali makanan Arab apabila mereka ke Makkah menunaikan ibadah haji atau umrah. Jika ingin mengerjakan haji, mereka perlu kumpul duit lagi, tetapi kalau teringin menikmati makanan Arab, mereka boleh peroleh di negara sendiri kerana semakin banyak restoran Arab dibuka bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya. Menurutnya, makanan Arab di 12 cawangan D’Arab Cafe disediakan oleh dapur berpusat dengan ketua tukang masak dari Arab. Berkonsep semi francais, D’Arab Cafe Kelana Jaya menawarkan hidangan dari Arab Saudi, Iran, Turki, Lubnan dan Tunisia. Minuman untuk restoran berkenaan diimport terus dari Timur Tengah.
Dirasmikan 14 Februari lalu, D’Arab Cafe Kelana Jaya menawarkan hidangan ayam, kambing, spageti, salad, pencuci mulut dan aiskrim.
Menu ayam ialah nasi beriani dengan ayam panggang, mandey, kabsah, aukdah, diraja Arab serta shawarma. Untuk kambing, selain mandey lahhm, hidangan menyelerakan lain ialah kabsah, aukdah dan kebab manakala dua jenis spageti ditawarkan iaitu lahhm dan jambaari (udang). “Mandey kambing dan kabsah ayam ialah sajian paling popular di kalangan orang kita. Pilihan untuk kabsah ayam ialah panggang atau rebus. Kedua-duanya berempah tetapi satu berkuah manakala satu lagi dibakar. Spageti udang sesuai untuk mereka yang tidak makan kambing atau ayam,” katanya.
Selain keenakan rasa hidangan, harga ditawarkan di D’Arab Cafe Kelana Jaya lebih murah berbanding restoran sajian Arab lain. “Kami menerima tempahan dan katering untuk pelbagai acara. Jika hidangan untuk kumpulan yang ramai, makanan dihidang dalam dulang seperti tradisi orang Arab. Minimum untuk satu dulang hidangan ialah RM100.
“Restoran ini mampu memuatkan sehingga 200 orang untuk majlis pada satu masa. Selain ruang terbuka, terdapat juga ruang tertutup berhawa dingin untuk acara persendirian mampu memuatkan 30 hingga 50 orang,” katanya.
Menurutnya, Shawarma kambing/ayam ialah roti Arab yang nipis dimakan dengan menggulungkan salad, tomato, bawang dan pudina di dalamnya. Ia dimakan dengan limau nipis dan bawang mentah bagi meneutralkan kolestrol. Ayam atau kambing Aukdah menu untuk orang yang tidak mahu menjamah nasi. Kebanyakan makanan Arab dimakan dengan sup dan sos.
Sementara itu, bagi melegakan perut selepas menikmati hidangan berat, pelanggan boleh mencuba Teh Arab yang dihidang dengan daun pudina dan buah pelaga.
“Sembilan puluh peratus pelanggan berpuas hati dengan makanan Arab di sini, lima peratus memberi komen membina manakala lima peratus lagi tidak memberi sebarang komen. Kami juga mempunyai pelanggan tetap,” katanya.