JAKARTA: Barisan Pembebasan Islam ((FPI) semalam mendesak anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang dirakam menonton video lucah ketika sidang Parlimen supaya meletak jawatan.
Jurucakap FPI, Munarman berkata, langkah yang diambil oleh anggota DPR dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS) itu boleh menjadi satu tanggung jawab moral.
“Di Amerika Syarikat, kes seperti ini (anggota Parlimen membuka video lucah) pernah berlaku dan akhirnya anggota berkenaan berundur. “Ini juga boleh dilakukan oleh anggota DPR,” kata Munarman.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman gambar menunjukkan wakil PKS terbabit, Arifinto yang gambarnya dirakam menonton video lucah ketika sidang Parlimen berlangsung kelmarin.
Media Indonesia sebelum ini menyiarkan gambarnya menonton video lucah itu.
Bagaimanapun, Arifinto ketika memberi keterangan kepada wartawan berkata, dia tidak sengaja membuka pautan Internet ketika membuka e-melnya dan berharap kes itu tidak berpanjangan.
“Saya bukan orang yang suka menonton video seumpama itu,” kata anggota PKS berkenaan. Jurufoto yang merakamkan gambar itu bagaimanapun yakin Arifinto sengaja membuka video itu dan menghabiskan masa kira-kira dua minit menontonnya. — Agensi