
TIGA pelumba (dari kiri) Webber, Vettel dan Hamilton yang mengungguli tiga petak hadapan bagi perlumbaan sebenar F1 GP Malaysia di Litar Sepang hari ini.
JUARA dunia, Sebastian Vettel berpeluang mencatat kejayaan kedua berturut-turut dalam perlumbaan kereta Formula Satu (F1) 2011 apabila bermula di petak hadapan pada saingan Grand Prix (GP) Malaysia petang ini.
Pemandu Red Bull itu muncul pemandu terpantas pada sesi kelayakan di Litar Sepang semalam dengan masa 1 minit 34.870, hanya 0.024 saat mengatasi pemandu McLaren, Lewis Hamilton di tempat kedua.
Hamilton pada mulanya dilihat bakal memenangi petak utama itu setelah mencatat 34.974s pada sesi kelayakan ketiga (Q3).
Begitupun, Vettel yang menjuarai saingan pembuka musim di GP Australia dua mingu lalu, mempamer pemanduan bergaya pada pusingan terakhir untuk sekali lagi mengatasi pemandu Britain itu dalam pere- butan petak utama.
"Saingan peringkat kelayakan kali ini amat sengit dan mencabar," kata Vettel yang mengumpul 25 mata setakat ini.
"Saya berpuas hati dengan prestasi jentera RB7 hari ini (semalam). Meskipun masih belum mendapat rentak yang diharapkan, namun kami masih berjaya mengekalkan kelebihan ke atas pasukan lain, terutama- nya McLaren.
"Bagaimanapun, trek ini sangat mencabar dan mempunyai banyak selekoh, ia memerlukan masa untuk mendapatkan rentak sebenar.
"Jadi kita tunggu saja perlumbaan esok (hari ini). Jika cuaca bagus dan tiada banyak masalah, saya rasa peluang untuk menang amat cerah," jelas- nya.
Pada GP Malaysia tahun lepas, Vettel terpaksa berpuas hati di tempat ketiga, manakala rakan sepasukannya, Mark Webber muncul juara pada perlumbaan yang dilangsungkan dalam keadaan cuaca hujan dan litar licin.
"Saya berharap kami mampu menaiki podium sekali lagi, cuma kali ini saya harap saya pula memenanginya.
"Jurang masa dengan McLaren mungkin tidak begitu bagus tetapi mekanik pasukan kami membuktikan yang kami mampu melakukannya. Jadi esok kami berharap dapat menyelesaikan tugas dengan baik," kata Vettel lagi.
Webber pula meneruskan kehebatan Red Bull apabila menduduki petak ketiga, manakala seorang lagi pemandu Britain dari McLaren, Jenson Button melengkapkan barisan kedua petak hadapan di tempat keempat.
Sementara itu, Fernando Alonso masih muncul antara pemandu terbaik dalam kalangan pemandu lain apabila menduduki petak kelima, namun pemandu Ferrari itu ketinggalan lebih 0.5s di belakang kedudukan petak keempat.
Nick Heidfeld turut cemerlang dengan memenangi petak keenam buat Lotus Renault, mengatasi pemandu Ferrari, Felipa Massa (ketujuh) dan rakan sepasukannya, Vitaly Pet- rov (kelapan).
Nico Rosberg dan Kamui Kobayashi melengkapkan kelompok 10 pemandu terpantas pada Q3 apabila masing-masing menduduki tempat kesembilan dan ke-10.