Sunday, April 10, 2011

Keunikan teko teh Inggeris



KAUNTER penyediaan teh memaparkan imej teko teh sebagai simbol menyambut kedatangan pelanggan.


TATKALA melangkahkan kaki ke restoran yang terletak di Petaling Jaya, Selangor ini, diri terasa seperti berada di sebuah rumah kotej perkampungan Inggeris.
Selain alunan lagu-lagu Inggeris malar segar, gabungan warna coklat, krim dan hijau membangkitkan lagi suasana seperti di rumah sendiri.
“Pemilik kafe, Azrina Arshad yang juga pereka dalaman restoran ini memang meminati warna coklat dan krim.
“Warna hijau pula merupakan gabungan terbaik kepada dua warna tersebut. Yang paling penting, semua warna ini dikatakan sesuai dengan makanan,” kata pengurus Teapot Cafe, Azura Malek.
Beliau memberitahu, dinding kafe tersebut dicat menggunakan teknik tekapan span untuk memberi mood sebuah bangunan lama.
“Bagi menyiapkan tekapan span ini sahaja mengambil masa lebih dua jam,” ujarnya lagi.
Malah, siling juga sengaja direndahkan untuk tujuan yang sama iaitu supaya pengunjung selasa berada di sini.
Restoran ini mempunyai kemasan lantai ruang makan yang diperbuat daripada panel kayu berlaminat.
Teko teh
Masih mengekalkan warna coklat gelap di bahagian lantai namun diselang-seli dengan jubin bercorak sebagai hiasan.
Selain itu, mozek kecil berwarna-warni yang membentuk imej teko teh di siar kaki kafe serta di kaunter minuman seakan-akan menyambut pengunjung yang datang.
Menurut Azura, pemilik mendapat idea untuk dekorasi itu melalui pemerhatiannya sepanjang mengembara ke luar negara khususnya Britain.

KOLEKSI teko teh porselin tulisan tangan.


Kepada mereka yang menghargai perkara yang kecil dan perincian sesuatu perhiasan pasti akan menemuinya di Teapot Cafe.
Hampir keseluruhan dinding restoran dihiasi dengan rak yang dipenuhi teko teh yang dikumpul oleh ibu pemilik kafe itu, Puan Sri Zaleha selama lebih 20 tahun.
“Lebih kurang 80 peratus teko yang menjadi perhiasan ini adalah milik Puan Sri malah terdapat beberapa teko yang berharga sangat mahal dan jarang dijumpai,” katanya.
Di sini, ada teko berbentuk sayur-sayuran, rumah kotej gaya Victoria dan porselin lukisan tangan.
Setiap satu teko teh itu direka dengan sangat terperinci. Sebagai contoh, terdapat teko berbentuk sinki bilik air lengkap dengan barang-barang kecil seperti ubat gigi dan berus gigi.
“Setiap dua bulan sekali, kami akan membersihkan semua teko yang ada.
“Cara membersihkannya pula pelbagai. Ada yang boleh dilap sahaja dan ada juga yang boleh dicuci dengan air, bergantung pada sensitiviti sesebuah teko,” ulas Azura menampakkan minatnya yang mendalam terhadap teko.
Selain itu, bingkai lukisan tangan dan sulaman silang pangkah yang memaparkan imej-imej desa Inggeris turut menjadi perhiasan.
Walaupun bertemakan ala Inggeris, hampir keseluruhan perabot dan lampu dibeli di dalam negara.
“Kerusi, meja, lapik meja dan candelier ini dibeli dari kedai berdekatan sahaja tetapi barangan yang dipilih mesti mempunyai unsur bumi.
Tempatan
“Seperti candelier ini, ia dipilih kerana memiliki warna krim selain hiasan dedaun yang melingkari lampu tersebut,” kata Azura.
Dibuka sejak tahun 1998 di Jalan SS2, Petaling Jaya, pada mulanya Teapot Cafe menggunakan sepenuhnya teko teh khas yang diimport dari sebuah kedai teh di London yang dikenali sebagai Whittards.

SALAH satu daripada tiga buah teko Whittards yang masih ada.


Namun, teko teh yang berharga kira-kira 25 pound sterling (RM123) itu kini hanya tinggal tiga buah dan menjadi antara koleksi yang bernilai kepada restoran ini.
Secara keseluruhan, kos untuk mengubahsuai restoran ini menelan belanja lebih kurang RM600,000 termasuk kelengkapan dapur.
Kafe ini menghidangkan hampir 30 jenis teh yang terdiri daripada jenama Dilmah dari Sri Lanka dan Whittards dari England. Ia juga menyediakan makanan Barat dan tempatan.
Kek dan pastri pula boleh dinikmati semasa minum petang sementelah kebanyakan resipinya dikumpul sepanjang pengembaraan pemilik ke Britain tetapi diubahsuai mengikut selera rakyat Malaysia.
“Kami juga menggunakan bahan mentah yang segar setiap hari dan tiada penggunaan makanan yang disejuk beku,” ujar Azura yang amat menjaga kualiti setiap makanan yang dihidangkan.
Teapot Cafe turut berbangga dengan pelanggan tetap yang dimilikinya.
“Malah, ada antara mereka yang memberi cenderamata berupa teko teh kepada kami untuk dipamerkan,” cerita Azura sambil menunjuk ke arah sebuah teko berupa seekor burung.