Buldakov berasal dari Palekh - sebuah kampung lama (700 tahun) dan terpencil di Russia; yang terkenal dengan keindahannya - pemandangan gereja berlatar belakangkan salji, sungai beku dan hutan birch. Walaupun jarang dikunjungi orang luar, tetapi mereka yang datang ke sini mempunyai satu tujuan: ingin melihat kotak kertas yang menjadi karya seni. Bagaimanapun kini, seni unik yang muncul sekitar 1920-an itu amat sukar mencari ruang untuk terus bertahan dalam masyarakat kapitalisnya. Jika ia pupus, bermakna sebahagian daripada kemegahan Russia yang terkenal dengan penghasilan barang hiasan kecil akan turut hilang. Berus yang digunakan Buldakov, 60, juga sangat istimewa. Ia diperbuat daripada ekor tupai yang ditangkap pada bulan Ogos atau selepasnya dan bulunya bercabang di hujung. Buldakov akan merebus kertas palpa tebal (papier-mache) dalam minyak flax untuk menjadikan ia sekeras batu.
Selepas dilukis dan divarnis, cebisan kertas emas akan dilekatkan dengan getah arab dan digosok dengan gigi serigala untuk melicinkannya.
Kerjanya memang rumit, maka tidak hairanlah jika setiap kotak mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk disiapkan. Buldakov dan isterinya yang mahir dalam penghasilan karya seni mini itu beruntung jika hasil kerja mereka dapat dijual dengan harga beribu dolar sekotak. Bagi pengkarya yang kurang mahir, mereka mungkin mendapat beberapa ratus dolar sekotak.
Namun kini dengan permintaan yang semakin sedikit, kemahiran seni itu sukar untuk dijadikan warisan keluarga. Malah anak perempuannya sendiri, Kseniya, 30, juga tidak berminat meneruskan warisan keluarga selama lima generasi itu. Dia dilatih sebagai pelukis Kotak Palekh tetapi berpindah ke St Petersburg untuk menghasilkan boneka teater - yang lebih mudah dibuat.
"Saya rasa kerja membuat Kotak Palekh ini tidak masuk akal. Sangat sedikit (pelukis Kotak Palekh) yang meneruskan kerja ini...Semua orang hendak cari kerja baru. Kerja itu membuat saya rasa terkurung dan bosan," katanya yang mendakwa ramai sependapat dengannya.
Zaman dulu ketika pemerintahan Soviet, seni Kotak Palekh adalah seni yang diberi subsidi oleh kerajaan dan ia membolehkan pengkarya hidup agak mewah. Tetapi kini terutama dalam era globalisasi dan kapitalis, kerja membuat Kotak Palekh tidak lagi boleh mendatangkan pendapatan lumayan. Bahkan untuk hidup seadanya juga agak sukar jika hanya bergantung kepada kerjaya itu saja.
Di kalangan orang muda seperti Kseniya Buldakov yang tamat pengajian daripada Kolej Seni Palekh di mana ayahnya turut menjadi tenaga pengajar, cuba lari daripada mewarisi kerjaya yang dianggap tidak menguntungkan dan ramai menjadi jurutera, kartunis, guru malah penata hias kuku - yang menjanjikan pendapatan jauh lebih baik.
Sebenarnya Palekh adalah antara salah satu perkampungan kraftangan terkenal di Russia. Antara kampung lain yang tercatat dalam senarai perkampungan kraftangan ialah Bogorodsk (terkenal dengan alat mainan daripada kayu), Gzel (seramik majolika biru), Zhostovo (dulang logam) - juga akan menjadi sejarah jika ia terus dibiarkan.
Bahkan ada yang berpendapat banyak budaya tradisional Russia seperti gaya hidup, berpakaian dan menari juga akan hilang sekiranya ia tidak dipelihara sebaiknya.
Kini sangat sukar untuk mencari ketuhar batu bata menggunakan kayu yang pernah menjadi 'aset' penting bagi setiap rumah. Ia penting untuk mandi wap dan memasak cara tradisional. Ketuhar batu bata kini digantikan dengan ketuhar gas yang membuatkan 'keseluruhan kelas makanan tradisional Russia' pupus; kata penyelidik sejarah makanan, Vilyam Pokhlyobkin.
Remaja pula lebih suka memakai but berbanding kasut valenki yang direka khusus untuk tarian tradisional; malah pemuzik memilih untuk memainkan gitar elektrik berbanding akordian dan balailaka. Tukang seni berpendapat semua perubahan ini terutama membabitkan kraftangan disebabkan kemunculan kilang berteknologi tinggi (dari Barat) dan pengeluaran produk besar-besaran dari China.
"Matryoshka (anak patung babushka) kini dihasilkan di China dan di bawa ke sini," kata pemilik kedai barangan cenderahati, Sophia Panfilova, 54, di Kremlin yang pernah menjadi pelukis matryoshka selama lebih 20 tahun.
Antara faktor lain yang menyebabkan kraftangan Kotak Palekh semakin dilupakan ialah pelukis tidak mengiklankan hasil kerja mereka kerana bimbang rekaan unik itu akan dicetak menggunakan teknologi tinggi dan kemudiannya ditampal saja pada kotak dan divarnis. Seorang pelukis, Nikolai Kukuliev, masih ingat bagaimana ayahnya, Boris, keluar dari salah sebuah kedai cenderamata di Moscow dalam keadaan marah selepas melihat Kotak Palekh yang tampal dengan rekaannya! "Mengapa datuk tu marah sangat? Saya beri dia potongan harga yang banyak," soal jurujual. "Datuk tu ialah pereka sebenar seni pada kotak itu," jawab Kukuliev.
Tetapi kemungkinan paling besar kepupusan seni Kotak Palehkh ialah ketiadaan subsidi. Seni Kotak Palekh berkembang kerana ideologi komunis yang memilihnya sebagai seni Soviet. Selama beberapa abad, Kotak Palekh menjadi ikon kepada seni lukis tetapi selepas revolusi Bolshevik pada 1917, penggiat seni lukis mula menukar dan mengabaikan propaganda komunis itu.
Dulu pemimpin Soviet bangga apabila melihat gambar mereka dilukis dan dianggap sebagai orang suci atau pejuang. Ketika itu pelukis Kotak Palekh menikmati pelbagai manfaat, mendapat pingat kebesaran dan perhatian daripada pegawai kebudayaan.
Pada 1991, kejatuhan kerajaan Soviet bukan saja memberi kebebasan untuk pelukis berkarya dalam seni dan memasukkan unsur agama dalam hasil kerja mereka. Ia menjadikan Kotak Palekh sebagai antara kraftangan yang sangat hangat ketika itu. Bagaimanapun sambutan yang hangat itu tidak kekal, apabila permintaan dari Barat mula merosot. Penggunaan tema agama pada lukisan juga ada kelebihannya kerana dengan pembukaan banyak gereja di Russia memberi peluang untuk menghasilkan lebih banyak Kotak Palekh sebagai hiasan. Bagaimanapun Pengarah Kolej Seni Palekh, Mikhail Belousov, bimbang kerana ia sedikit sebanyak akan menutup ruang untuk merangsang daya kreativiti kerana ramai yang akan meniru rekaan yang sedia ada.