Monday, April 18, 2011

Dibunuh ketika ziarah ibu




ANGGOTA polis menjalankan siasatan di banglo yang dipecah masuk tiga lelaki hingga mengakibatkan Norjaniaty dibunuh di Kampung Keladi, Kulim semalam.


KULIM - Kepulangan seorang suri rumah ke Kampung Keladi di sini untuk menziarahi ibunya yang ditinggalkan kerana mengikut suami berpindah ke Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu berakhir dengan tragedi apabila dia dibunuh oleh tiga penjenayah semalam.
Kejadian pukul 4 pagi di sebuah banglo dua tingkat itu menyebabkan Norjaniaty Mohamad Isa, 40, meninggal dunia selepas dipukul dengan objek keras dan tumpul di kepala selain dilemaskan dengan bantal yang ditekup di mukanya oleh penjenayah terbabit.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang tidur di dalam sebuah bilik bersama ibunya, Fatimah Abu Bakar, 70, manakala dua lagi ahli keluarga, Muliati, 45, dan anak lelakinya, Mohd. Syamsul Ismail, 16, yang tidur di bilik lain tidak diapa-apakan.
Katil yang digunakan Norjaniaty turut patah akibat serangan penjenayah tersebut. Fatimah turut cedera akibat dipukul dan dirawat di Hospital Kulim.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Supritendan Law Thiang Huat berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kira-kira sejam selepas itu.
Katanya, sebaik diperiksa, pihaknya menemui mayat Norjaniaty terlentang atas katil yang patah di dalam bilik di tingkat atas.