ARKIB : 06/05/2011
Sastera mata pelajaran tunggal
![]() |
Pandangan Muhammad Salleh (kanan) bahawa sastera perlu dijadikan mata pelajaran tunggal perlu dipertimbangkan. |
DI NEGARA barat walaupun sains dan teknologi merupakan tunjang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara mereka, namun elemen sastera tidak pernah dipinggirkan.
Ketika mendahului dalam dunia sains dan teknologi maklumat, rak-rak buku di rumah dan perpustakaan di negara mereka tetap dipenuhi dengan karya sastera.
Nama-sama seperti William Shakespeare, Joseph Conrad, Charles Dickens dan Ernest Hemingway bersama karya mereka terus disanjung hingga ke hari ini.
Malah buku Killing The Morking Bird yang merupakan satu-satunya karya Harper Lee terus di sanjung hingga ke hari ini.
Sempena ulang tahun ke-50 penerbitan buku itu tahun lalu, ia diulang cetak melalui edisi khas yang melibatkan jutaan naskhah untuk diedar ke seluruh dunia.
Tetapi martabat sastera di Malaysia tidak sampai ke tahap itu. Di era sebelum merdeka sastera tempatan disanjung kerana ia menjadi alat untuk menanam semangat kebangsaan bagi menentang British.
Selepas merdeka hingga ke era awal 80-an, karya-karya sastera tempatan masih lagi dihargai. Waktu itu masih ada mata pelajaran sastera di ajar untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Antara buku yang menjadi kajian sastera tingkatan lima ialah Badai Semalam sementara yang popular untuk STPM pula Keluarga Gerilya.
Tetapi kini sastera tidak lagi berdiri sendiri sebagai satu mata pelajaran di sekolah. Ia satu daripada komponen mata pelajaran bahasa Melayu.
Mungkin, kerena kerajaan memikirkan sastera tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Hasilnya ia sedikit sebanyak turut membunuh minat rakyat negara ini terhadap sastera tempatan.
Disebabkan minat terhadap novel-novel serius karya penulis tempatan semakin sukar untuk dicari.
Selain sekadar memenuhi rak di kedai milik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), buku karya Usman Awang, Shahnon Ahmad, Arena Wati, A. Samad Said, Pak Sako dan lain-lainnya jangan harap boleh ditemui di kedai-kedai buku biasa.
Tetapi yang peliknya, karya-karya sastera barat yang sudah berusia melebihi seratus tahun pun mudah untuk ditemui.
Sebab itu saranan supaya Kesusasteraan Melayu dijadikan mata pelajaran tunggal perlu dipertimbangkan dengan mendalam oleh Kementerian Pelajaran.
Sastera merupakan sebahagian daripada perjuangan memerdekakan negara.
Pak Sako pernah di tahan British kerana novel Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahanyang dikatakan menghasut penduduk Tanah Melayu menentang penjajahan Inggeris.
Tetapi sekarang ini di mana kita boleh dapatkan buku-buku tersebut yang pernah membantu membangkitkan semangat rakyat negara ini menentang penjajah?
Seperti kata Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh sastera Melayu tradisi merupakan warisan kebudayaan yang tinggi nilainya.
Tetapi malangnya hari ini, sastera Melayu terbahagi kepada dua elemen utama iaitu lisan dan tulisan semakin dilupakan.
"Generasi muda sebenarnya perlu sedar bahawa tiada siapa lagi yang dapat memikul beban untuk mempertahan dan memperkembang sastera Melayu kerana zaman Usman Awang dan sasterawan terkemuka negara yang lain telah hampir tiada dan ada yang sudah tamat perjuangan mereka," katanya.
Sebab itu sesuatu perlu dilakukan supaya generasi muda kini bangkit daripada zon keselesaan dan kealpaan dan berjuang memperkasa sastera Melayu.
Ia perlu diangkat supaya bukan hanya terus dikenali dalam negara tetapi juga di luar sama seperti karya-karya sastera di negara lain.
Jika sastera terus dijadikan sebahagian daripada komponen bahasa Melayu, maka ia tidak memerlukan bukan sahaja di dalam malah di luar negara.
Mungkin ada yang memandang remeh apabila ada pihak memperjuangkan bidang kesusasteraan ini.
Tetapi realitinya, sastera sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam membina sesebuah tamadun.
Sebab itu di barat, walaupun mereka telah jauh maju ke depan, namun karya-karya Shakespeare, Hemingway dan Dickens terus dibincangkan di peringkat sekolah menengah dan universiti. Karya-karya klasik yang dianggap sama-sama membangun dengan tamadun barat itu tidak pernah mereka ketepikan. Sebaliknya ia terus diajar dan dihayati oleh generasi muda.
Namun saranan Muhammad itu kurang disenangi apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong melihat ia sebagai akan membebankan pelajar yang secara puratanya mengambil kira-kira sembilan hingga 10 mata pelajaran wajib di sekolah.
Bagi Ka Siong komponen kesusasteraan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kini sudah memadai kerana ia engkap dengan semua aspek yang perlu diketahui oleh seseorang pelajar mengenai asas kesusasteraan.
Walaupun pada pandangan Timbalan Menteri Pelajaran itu komponen sastera yang diajar di sekolah-sekolah lengkap tetapi ia gagal memartabatkan sastera Melayu.
Malah sistem yang ada sekarang seolah-olah turut menyumbangkan kepada peminggiran sastera Melayu terutama di kalangan generasi muda.
Mereka menjadi semakin jauh dan semakin asing bukan sahaja kepada karya tetapi juga kepada tokoh-tokoh sastera tempatan.
Lagi pula sastera adalah lambang jati diri sesuatu masyarakat dan tamadun. Setiap tamadun yang unggul di dunia mempunyai karya sastera agung mereka yang tersendiri. Sebab itu, ketika negara menuju status sebuah negara maju, karya sastera juga perlu diangkat dan dimartabatkan.