ARKIB : 01/05/2011
Novel kisah menulis novel
Baru-baru ini muncul sebuah novel karya Sasjira, pengarang muda Sabah. Judulnya Lestari Cintaku. Buku ini diterbitkan oleh Penerbit Pekan Ilmu.
Perlu disebutkan, sebuah cerpen Sasjira yang bertajuk Hutan Rimba, muncul dalam bukuDirgahayu Bahasaku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku itu dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima. Bertuah penulis ini kerana karyanya dikaji di sekolah.
Saya tertarik untuk membicarakan karya Sasjira, kerana tampaknya penulis muda ini sedang berkembang secara yang meyakinkan. Menurut catatan, Sasjira pernah memenangi Hadiah sastera di peringkat Sabah. Ketika kita mencari penulis karya sastera yang baik pada masa ini, nama Sasjira eloklah dimasukkan dalam pencarian itu.
Lestari Cintaku ialah "novel tentang penulisan novel". Tema ini menarik, iaitu satu tema yang memperkatakan persediaan menghasilkan novel.
Apakah kelainan novel Lesrati Cintaku ini? Yang pertama, buku ini dimulai dengan pesanan (dalam bahagian Prolog): Susun semula cerita anda. Tulis yang anda tahu, bukan yang anda ingin tapi kurang tahu.
Pesanan itu datangnya daripada Guru. Perasaan pihak yang membacanya (protagonis) ialah 'tersinggung'. Protagonis karya ini tidak menyenangi pesanan Guru tersebut. Bahasa pesanan itu menunjukkan bahawa protagonis tidak berbakat untuk menghasilkan karya dalam bentuk baru. Bagi protagonis, Lestari Cintaku memang akan ditulis oleh orang yang tahu.
Dari segi cerita, fokus utama dalam novel ini ialah perkahwinan antara Lestari Cintaku dengan Datuk Arief Ridzuan. Hubungan awalnya ialah guru dengan murid, dan perkahwinan berlaku secara yang tidak begitu dirancang. Arief Ridzuan mempunyai seorang lagi isteri, Umi Umairah. Isteri pertama tidak mengetahui perkahwinan Arief kali kedua ini.
Persoalan perkahwinan secara rahsia ini selalunya menimbulkan kekacauan dalam hubungan kekeluargaan. Namun, dalam novel Sasjira ini, perkara itu tidak diutamakan. Lestari Cintaku berjaya menyembunyikan hubungan sebenar antara dia dengan suaminya, biarpun dia agak rapat dengan Umi Umairah. Hal itu bukanlah penekanan hingga menjadi konflik besar. Lestari Cintaku lebih menekankan pemikiran keagamaan dan kritik sosial secara yang berlainan.
Watak utama novel ini (atau LC) mempelajari pemikiran kritis daripada Arief Ridzuan. Dia tertanya-tanya tentang keadilan dalam kehidupan. Dia juga mempersoalkan adanya penderitaan dan kesengsaraan, padahal kehidupan seharusnya dipenuhi kecintaan atau kasih sayang. Hubungan LC dan Arief Ridzuan menghasilkan anak lelaki bernama Arief Budiman, atau Budi. Anak itu amat disayangi mereka.
Bagi menyegarkan penceritaan, Sasjira dengan bijaksana melukiskan watak penganggu yang sederhana. Rashid dilukiskan sebagai lelaki yang suka berkisah atau menyebutkan sesuatu yang bersifat double meaning, iaitu yang selalu mengarah ke ranjang. Jika Rashid mengemukakan pantun, pembayang pun sudah cukup erotik, lihat halaman 176. Melalui maklumat daripada orang lain, LC tahu bahawa Rashid tidaklah terlalu berbahaya, kerana minatnya ialah bercakap-cakap begitu, bukannya melakukan tindakan yang tidak sopan terhadap wanita. Dengan pemahaman yang sedemikian, LC sudi bertemu dengan Rashid (untuk kemajuan keusahawanannya), dan kemudian Rashid membawanya berkenalan dengan watak-watak lain, termasuk Zaki dan Tek. Watak Tek agak lucu, baru saja berkenalan, sudah bertanya di manakah LC bermalam. Apabila diberitahu bahawa LC tidak menginap di hotel, Tek berkata, "Sayang sekali."
Sasjira mengatur watak-watak dengan meletakkan sesiapa yang penting di tempat penting, manakala watak-watak sampingan, betapa pun menarik, ditinggalkan begitu saja. Lebih aneh, watak utama pun hilang, sebab baginya yang utama tidak semestinya penting. Watak Rashid yang ada kekuatan untuk dikembangkan, dihilangkan begitu saja, bahkan watak Tek muncul dalam hanya beberapa baris. Watak Arief Ridzuan yang dicintai LC akhirnya hilang secara agak misteri, digantikan dengan watak lain, Mohd Azdi, lelaki muda yang juga akhirnya berjodoh dengannya. Sesekali dibayangkan bahawa Mohd Azdi hidup dengan semangat kental Arief Ridzuan.
Saya tertarik pada novel ini kerana kelainannya. Antara kelainan itu, pertama: ini ialah novel tentang penulisan novel, dan segala yang diceritakan seolah-olah belum lagi merupakan novel. Semua yang ditulis dapat dikatakan proses mengumpul bahan. Kedua: Perkahwinan rahsia dijadikan perkara ringan sahaja, bukan tema yang menimbulkan konflik besar. Ketiga: kemunculan watak-watak yang bertujuan membawa perkara-perkara asing daripada tema dan plot utama, misalnya kemunculan Rashid dan Tek. Keempat: pengarang memasukkan isu keusahawanan secara nipis tetapi meyakinkan. Kelima: perbahasan tentang agama menyentuh soal kebahagiaan yang sewajarnya dinikmati oleh semua orang. Dalam hal ini, pada bahagian tertentu muncul watak yang mempertanyakan kesengsaraan. Dengan kata lain, pengarang mempersoalkan agak banyak perkara dalam novel yang tidak begitu tebal.
Setelah mengemukakan persoalan pengarang mempunyai jawapan secara yang meyakinkan. Walau bagaimanapun, selaku penulis kreatif, Sasjira tidak menyampaikan mesejnya secara yang langsung. Dia menyembunyikan makna sebenar karyanya. Dia melukiskan watak-watak manusia berbudi tinggi, termasuk Arief Ridzuan, ibu mertua, dan LC sendiri, di samping watak-watak yang hidup dalam realiti masyarakat yang serba seksi seperti Rashid dan Tek. Tiada ganjaran dan dia hukuman yang nyata untuk semua mereka.
Watak-watak dalam novel ini adalah watak-watak nyata, biarpun orang seperti Arief Ridzuan itu sukar ditemukan di sana sini. Semua ini dapat dijayakan oleh Sasjira, kerana beliau mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup tentang manusia dan pengkaryaan.