Friday, April 15, 2011

Warden didakwa bunuh murid



HANIF diiring keluar dari mahkamah selepas tidak membuat sebarang pengakuan atas dakwaan membunuh Saiful Syazani di Mahkamah Majistret Kangar semalam.


KANGAR – Cubaan seorang peguam bela yang memohon untuk menghalang media daripada membuat liputan mengenai perbicaraan seorang ustaz yang menghadapi tuduhan membunuh seorang murid tidak mendapat reaksi Mahkamah Majistret di sini semalam.
Mohd. Fikri Abd. Rahim dan Zulmi Sabri mencadangkan perkara itu di hadapan Majistret Nurshida Abdul Rahim ketika prosiding pendakwaan terhadap Hanif Mohd. Ali, 26, yang dituduh membunuh murid tahun satu Sekolah Agama Rakyat di Jejawi dekat sini, Saiful Syazani Saiful Sopfidee (gambar kecil).
Sebaliknya, Nurshida memutuskan tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung permohonan kedua-dua peguam yang mewakili Hanif itu. Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Hanif didakwa membunuh kanak-kanak tersebut di antara pukul 6 petang dan 12 malam di bilik warden asrama Putra di Sekolah Rendah Islam Al-Furan Jejawi dekat sini pada 31 Mac lalu. Bagaimanapun, dia tidak membuat sebarang pengakuan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan dia boleh dihukum gantung sampai mati. Pendakwaan kes dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwa Raya, Azman Abu Hassan.