KUALA LUMPUR — Pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang kredibiliti dan terbukti gagal menunjukkan kepimpinan yang efektif sejak janjinya untuk pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 tidak menjadi kenyataan.
Mengakui turut menjadi mangsa janji Anwar itu, Raja Petra berkata, Ketua Pembangkang itu pernah memberi harapan palsu kepadanya semasa beliau dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting, Perak.
“Anwar datang ke mahkamah kerana ada dua kes yang berjalan serentak dan beritahu saya jangan susah (hati), tidak lama lagi awak akan keluar sebab kita akan bentuk kerajaan pada 16 September,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini.
Rakaman temu bual bahagian kedua itu disiarkan dalam Buletin Utama TV3 malam ini.
Raja Petra berkata, kegagalan pakatan pembangkang untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008 seperti yang dijamin oleh Anwar telah melunturkan harapan pengundi yang menyokong pembangkang.
“Misalan sekarang pun sudah timbul soalan shadow kabinet. Anwar kata tidak perlu shadow kabinet.. tapi istilah shadow kabinet ialah seorang ahli pembangkang menjadi shadow kepada seorang ahli kabinet. Tidak semestinya shadow kabinet ialah kabinet yang bersedia untuk memerintah.
“Tetapi sekiranya shadow kabinet pun kita tidak mampu tubuh, macam mana nak perintah? Siapa ahli kabinet? Pengundi-pengundi ingin tahu,” katanya.