
Lebih 30 nyaris maut
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam berusaha membersihkan laluan selepas sebatang pokok tumbang di Jalan Kupang-Baling dekat Pulai, semalam. |
BALING 2 Okt. - Lebih 30 anak-anak yatim terselamat apabila bas dinaiki mereka nyaris dihempap sebatang pokok mempelam yang tumbang secara tiba-tiba di Jalan Kupang-Baling, dekat Pulai, di sini semalam.
Kejadian pukul 2.30 petang berlaku ketika pelajar-pelajar dari Rumah Anak-anak Yatim Al-Wadi Kupang sedang dalam perjalanan ke satu majlis sambutan Aidilfitri di Pekan Baling.
Pengetua rumah anak-anak yatim itu, Md. Daud Abdul Rahman berkata, semasa melalui jalan tersebut, pemandu berkenaan melihat sebatang pokok yang hendak tumbang.
"Namun mujurlah pemandu bas itu berjaya mengawal kenderaan dan mengelak daripada dihempap pokok besar tersebut.
"Kenderaan itu bagaimanapun hampir terjatuh ke dalam parit di kiri jalan. Ekoran insiden itu, semua anak yatim tersebut terpaksa menaiki kenderaan lain untuk ke majlis Aidilfitri berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Baling, polis dan orang ramai bertindak membersihkan jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mat Daud Mat Hassan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan.