
“SAYA suka melihat kartun Dora dan apabila diberi peluang untuk berjumpa, saya berasa amat teruja dan gembira. Saya mahu mengambil gambar bersama Dora,” demikian petah bicara seorang kanak-kanak, Diyana Abdul Zainal, 8, yang ditemui bersama-sama ibu bapa dan adiknya di Dataran I-City, Shah Alam, Selangor. Di situ, Dora The Explorer membuat persembahan khas untuk kanak-kanak.
Dia yang sibuk menonton persembahan bersama lebih 300 kanak-kanak lain juga tidak ketinggalan menyertai pelbagai aktiviti yang turut disediakan pada hari itu seperti pertandingan mewarna, pertandingan makan aiskrim, menonton filem, kuiz bersama Dora The Explorer, teka-teki, pertandingan minum Root Beer dan sebagainya.
Bagi orang dewasa, mereka dilihat beratur panjang untuk membeli tiket ke SnoWalk di samping ada yang menunggu di pintu masuk SnoWalk menanti taburan salji yang dijanjikan oleh pihak pengurusan I-City.
Menjadi tarikan terbaru, I-City terus memperlihatkan pelbagai perkembangan sebagai salah satu destinasi pelancongan dengan inovasi baru.
Daripada hanya sebuah lokasi komersial, kepada lokasi bercahaya dengan dekorasi pelbagai arca berlampu kepada gerai-gerai permainan, aktiviti menunggang kuda, tempat makan, pameran-pameran dan sebagainya, kini I-City lebih daripada hanya sebuah tapak pelancongan bercahaya.
Habiskan RM10 juta
Pemilik bandar cahaya digital, I-Berhad, mengambil satu lagi langkah besar apabila melabur RM10 juta bagi menambah nilai pelancongan di tempat itu dengan membuka SnoWalk, satu tempat di mana anda berpeluang merasai musim sejuk dalam tempat tertutup!
Pelaburan yang besar itu diyakini bakal membuahkan hasil apabila ia menjadi satu-satunya lokasi di Lembang Klang yang menawarkan pengalaman Antartik kepada penduduk hutan hujan tropika.
Dengan keluasan 4,645 meter persegi, SnoWalk yang menjadi destinasi tarikan I-City itu menawarkan pengalaman sejuk pada suhu 5 darjah Celsius.
“Setiap pengunjung yang datang ke sini pasti akan teruja dengan SnoWalk memandangkan ia bukan sekadar tempat yang disejukkan tetapi, mempunyai semua fasiliti permainan musim sejuk termasuk rumah ais, gelongsor ais, bebola salji, arca ais dan pengangkutan kereta api ais,” kata Pengarah I-City, Monica Ong. Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran taburan salji di SnoWalk mahu semua orang merasai pengalaman di pusat salji itu.

PENGALAMAN bermain salji pasti mengujakan terutamanya buat si cilik.
Pada hari pembukaan taburan salji di SnoWalk, Monica memberitahu, pihaknya percaya, sasaran mereka untuk mendapatkan kehadiran 8,000 orang pengunjung sehari akan tercapai terutama pada hari minggu.
“Ini kerana pada hari Ahad dan cuti umum, kami akan menerima kira-kira 5,000 hingga 6,000 orang pengunjung. Dengan kedatangan karakter kartun popular seperti Dora The Explorer ia menjadi tarikan untuk memikat pengunjung cilik,” kata Monica lagi.
I-City berkerjasama dengan saluran televisyen Nickelodeon SEA untuk membawa ikon kartun Dora The Explorer serta SpongeBob SquarePants pada bulan November nanti sebagai strategi untuk menarik lebih ramai pengunjung berkeluarga ke situ.
Kanak-kanak dilihat sangat gembira apabila mereka didedahkan dengan karakter kartun kegemaran. Mereka juga dihiburkan dengan lagu, permainan, kuiz dan sesi bergambar untuk 30 keluarga bertuah.
Walaupun dibuka enam tahun yang lalu sebagai bandar raya digital, populariti I-City yang mengutamakan penggunaan teknologi secara inovatif dikembang baru-baru ini dengan pelbagai intipati yang menarik.
Memberi sentuhan berbeza terhadap SnoWalk agar tampil unik berbanding taman tema bersalji lain, sebuah arca ais LED seberat 100 tan dibina di situ dengan tenaga kerja seramai 30 orang dari Harbin, China selama dua bulan.
Apa yang pasti, langkah yang diambil pihak pengurusan I-City menjadikan lokasi itu sebagai satu tarikan pelancongan bukan dibuat secara ala kadar.
I-City pada masa yang sama mahu menjadi pendidik, penghibur dan tempat rekreasi seisi keluarga.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakamkan foto bersama arca-arca unik diperbuat daripada ais di SnoWalk.
“Dengan pelaburan yang banyak, saya berpendapat, bayaran masuk ke SnoWalk iaitu RM25 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak berbaloi. Kami juga menawarkan baju sejuk kepada pengunjung yang masuk,” kata Monica.
Seluruh teknologi bagi SnoWalk, kecuali taburan salji, dibina pada bulan Mac lalu dengan kerjasama dengan Pusat Sains Negara.
Pihak I-City berjanji akan memasang lebih banyak peralatan untuk tarikan pengunjung. Sebagai cabang Pusat Sains Negara, SnoWalk akan dibekalkan dengan pelbagai imej pendidikan dan pendedahan terhadap sains dan teknologi.
Malahan, Kosmo! juga diberitahu, pengunjung ke Pusat Sains Negara akan turut diberikan diskaun masuk ke SnoWalk sebagai menggalak lebih ramai orang mengunjungi SnoWalk.
“Taburan salji yang menjadi satu-satunya pengalaman pertama di Asia Tenggara ini dihasilkan oleh sebuah syarikat Korea, Barskorea di Icheon. Kelebihan kami memilih syarikat tersebut ialah kerana ia mempunyai teknologi yang canggih dan mesra alam,” ungkap wanita itu.
Terang Monica lagi, mesin penyejuk akan menapis air sejuk kepada 15 darjah Celsius dan air itu akan dibekukan kepada -35 darjah Celsius menggunakan gas mesra alam. Kesemua 16 drum salji yang dipasang akan melepaskan ais itu dalam bentuk salji yang lembut iaitu hampir sama dengan tekstur sebenar salji.
“Air yang diproses membentuk salji menggunakan air bersih yang boleh diminum. Memandangkan segala proses pembuatan itu mesra alam dan pengguna, pengunjung boleh cuba merasai salji itu. Ia tidak membahayakan atau memudaratkan tubuh,” kata Monica dengan yakin.