Saturday, April 02, 2011

Enam pasukan azam kekal rentak

Enam pasukan azam kekal rentak


AKSI antara Kosmo! (jersi merah) dan Juton pada Liga Futsal Korporat 2011 di Real Sports Arena, Teluk Gadong, Klang, Sabtu lalu.


ENAM pasukan yang meraih tiga mata penuh minggu lalu memburu kemenangan kedua pada saingan minggu kedua Liga Futsal Korporat 2011 anjuran Ban Hoe Leong (BHL CFL 2011) di Real Sports Arena, Teluk Gadong, Klang hari ini.
Majlis Perbandaran Klang (MPK), Kosmo!, Ban Hoe Leong (BHL), Real Sports Arena (RSA), Inai Kiara dan Ricoh berjaya menewaskan lawan masing- masing pada aksi sulung kejohanan yang berlangsung Sabtu lalu.
Saingan hari ini akan dimulakan pada pukul 12 tengah hari dengan Kosmo! yang dibarisi para wartawan, jurufoto, pereka grafik dan eksekutif pemasaran akan turun berdepan Petronas.
Kosmo! pasti mahu meneruskan rentak kemenangan setelah berjaya menewaskan Jotun 5-2 pada aksi pertama, manakala Petronas pula mahu bangkit setelah tewas 1-4 kepada RSA.
Namun saingan liga selama 11 minggu berturut-turut ini dikejutkan dengan berita pasukan SFFLA terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir, sekali gus menjadikan saingan kini hanya disertai 11 pasukan.
"Atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, pasukan SFFLA telah sah untuk menarik diri daripada kejohanan ini.
"Jadi semua perlawanan melibatkan SFFLA diletakkan sebagai perlawanan terakhir pada setiap minggu dan semua pasukan dijadual bertemu SFFLA akan diberikan kemenangan percuma 3-0," kata pegawai kejohanan, Mohamad Izuwan Hayat.
Dengan bayaran penyertaan RM2,900, juara BHL CFL 2011 bakal membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.