Friday, April 08, 2011

Doktor ayu beranak lapan




SUHAILI (kiri) dan Normazila yang menjadi juara kategorimasing-masing membawa pulang wang tunai, tudung, baucar dan trofi.


SEORANG doktor beranak lapan, Dr. Normazila Mohammad, 46 dan seorang pelajar Sarjana Sains dalam bidang Fisiologi Pokok, Suhaili Mohamad, 24, menjadi juara bagi kategori masing-masing dalam peraduan Pencarian Model Tudung Fareeda 2011.
Pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda yang turut mendapat sokongan akhbar Kosmo! berakhir pada 20 Mac lalu di Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor menobatkan kedua-dua mereka sebagai juara bagi kategori 40 tahun ke atas dan 40 tahun ke bawah.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan mereka menjadi model bagi memperagakan tudung Fareeda untuk dipaparkan di majalah, surat khabar dan juga banting iklan tudung Fareeda.
Normazila yang bekerja sebagai doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Taman Tun Dr. Ismail di ibu negara terkejut dan tidak menyangka penyertaan sulung bagi bergelar model tudung membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda 2011 kategori 40 tahun ke atas.
Katanya, semangat dan keyakinan suaminya yang merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan dan anak-anak berumur di antara tiga tahun dan 25 tahun memberi perangsang untuk dia menyertainya.
“Suami saya yang menjadi perunding imej bagi busana yang digayakan ini. Dia juga menjadi penyebab saya menyertai pertandingan ini.
“Saya masuk pertandingan ini bagi membuktikan usia bukan penghalang. Tidak sangka terpilih masuk ke peringkat akhir dan seterusnya menjuarai kategori wanita 40 tahun ke atas,” katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, lima helai tudung Fareeda bernilai RM1,000, baucar potongan 50 peratus bagi pembelian tudung Fareeda dan trofi.
Bercerita lanjut, Normazila mengakui pada Jun tahun lalu, dia mula terpaut pada corak dan rekaan tudung Fareeda ketika melihat tudung tersebut yang dipakai oleh guru sekolah anaknya yang juga pemenang tempat kedua Pencarian Model Tudung Fareeda 2010, Norlizawaty Baharin.
Fokus pada tudung
Juara kategori 40 tahun ke bawah, Suhaili Mohamad, 24, yang merupakan pelajar program Sarjana Sains dalam bidang Fisiologi Pokok di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang juga bersyukur apabila dinobatkan sebagai juara.
Isteri kepada Laskar Udara Kanan, Mohamad Khairul Yusran Jaafar, 28, itu menambah, dia memberikan keutamaan pada tata rias tudung Fareeda yang dikenakan untuk pertandingan tersebut seperti pemakaian manik dan juga aksesori pada tudung.
Dia yang merupakan pelajar sepenuh masa, pernah menyertai pertandingan yang dianjurkan ketika Pameran Pengantin baru-baru ini tetapi tidak menyangka dalam pertandingan kali ini, nasib menyebelahinya lagi.
“Mungkin ini rezeki saya jadi juara kerana hanya berpakaian sederhana dan memberi tumpuan hiasan kepada tudung,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM3,000, sepuluh helai tudung bernilai RM2,000, 10 baucar diskaun barangan Fareeda dan trofi.
Tempat kedua kategori 40 tahun ke bawah dimenangi Farah Najwa Zulkifly, 24, Anifah Wahab, 20, (tempat ketiga).
Selain pemenang-pemenang itu, Noor Sahida Sabri, 24, pula memenangi hadiah bagi kategori fotogenik.
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dengan diiringi Pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria.
Dalam pada itu, Faridah memberitahu, sambutan peraduan pencarian Model Tudung Fareeda di luar jangkaan dan pemilihan pemenang pada pertandingan itu diadili oleh barisan juri yang arif dalam dunia fesyen.
“Pemenang pertandingan pencarian Model Tudung Fareeda 2011 dipilih berdasarkan beberapa kriteria iaitu berdasarkan wajah, cara menggayakan tudung yang menarik serta penampilan mereka,” katanya yang mengasaskan Fareeda House of Scarf setelah mendapat inspirasi daripada koleksi tudung-tudung di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu.