Monday, April 18, 2011

Bebas tuduhan bunuh Ching Eng Wah


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan dua lelaki atas tuduhan membunuh Naib Pengerusi Pemuda MCA Padang Serai, Ching Eng Wah di Pekan Padang Serai dekat sini hampir empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dan Mohamad Zalmizi Hasim, 27.
Zakiah berkata, ini kerana pihak pendakwaan gagal memanggil dua saksi penting dikenali sebagai Jeffry dan Herman.
Katanya, dalam kes itu mahkamah tidak boleh mensabitkan kesalahan berdasarkan syak.
"Ketika kereta Eng Wah berhenti di persimpangan lampu isyarat, isteri mangsa memberitahu, dia menundukkan kepala kerana mahu mengambil telefon bimbit.
"Dia yang menoleh sebaik terdengar bunyi letupan mendapati suaminya sudah ditembak dan nampak dua lelaki bermotosikal hampir terjatuh," ujarnya.
Tambahnya, pistol yang ditemui di rumah Herman di Butterworth, Pulau Pinang pula sudah berkarat dan tidak dapat dipastikan sama ada ia digunakan untuk menembak Eng Wah atau tidak.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka dengan niat telah membunuh Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat Jalan Lunas-Padang Serai dipekan Padang Serai pada pukul 8.50 pagi, 17 Ogos 2007.