Monday, October 04, 2010

Jacob Yeoh: Pewaris generasi baru YTL

Jacob Yeoh: Pewaris generasi baru YTL

Yeoh Keong Yeow


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kata orang, 'Ke mana tumpah kuahnya, kalau tidak ke nasi'. Begitulah bidalan yang boleh diberikan kepada Yeoh Keong Yeow atau lebih dikenali sebagai Jacob Yeoh, anak muda, berusia 25 tahun yang kini sedang meningkat naik namanya.
Seperti mana bapanya Francis Yeoh, peneraju utama YTL Corporation, sebuah konglomerat terkemuka di Malaysia yang dibangunkan daripada sebuah syarikat milik keluarga berpusat di Bukit Bintang Kuala Lumpur.
Biarpun syarikat telekomunikasi yang diterajuinya, YTL Communications, penyedia khidmat jalur lebar 4G, mungkin belum lagi setanding dengan gergasi besar seperti Maxis, Celcom dan Digi tetapi apa yang jelas Keong Yeow, berazam untuk memberikan saingan hebat.
Menurut beliau yang enggan mengulas lanjut pihaknya bakal bekerjasama dengan sebuah syarikat multinasional (MNC) untuk menyediakan perisian yang akan membawa perubahan besar kepada perkembangan teknologi bergerak sedia ada.
Keong Yeow yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Comm. berkata, pihaknya akan menawarkan sesuatu yang mengubah kaedah penggunaan sedia ada yang kini menjurus kepada kemudahan suara bergerak kepada Internet bergerak.
''Ini bermakna Internet boleh digunakan pada bila-bila masa dengan menggunakan pelbagai peralatan. Contohnya, jika seseorang terlupa membawa telefon bimbit yang mempunyai pelbagai maklumat penting.
''Dengan perisian yang bakal disediakan nanti, maklumat penting tersebut masih boleh diakses dengan menggunakan peralatan lain hanya perlu menaip kata laluan dan semua maklumat yang diperlukan boleh digunakan pada bila-bila masa dan di mana juga mereka berada," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Keong Yeow, YTL Comm. masih lagi berbincang dengan pihak tersebut dan berharap ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
''Apabila semuanya telah dimuktamadkan, pengumuman akan dibuat," kata anak muda yang menggemari mengembara dan bersukan.
Keong Yeow juga berkata, pihaknya yang akan melancarkan perkhidmatan jalur lebar dan suara 4G pertama di Malaysia pada November ini, akan menyediakan perkhidmatan yang unik dan segar kepada para penggunanya.
''Rangkaian keseluruhan kami adalah memberikan kebebasan kepada pengguna kerana ia adalah apa yang diberikan oleh Internet, pengguna hanya perlu nama dan kata laluan untuk akses perkhidmatan tersebut.
''Dengan fleksibiliti rangkaian, pelanggan boleh menguruskan maklumat mereka sendiri. Tetapi potensi sebenar perkhidmatan 4G ini adalah mengubah cara kita belajar, pendapatan dan bermain terutama bagi memasuki dunia Internet," jelasnya.
Katanya, penggunaan 4G semua peralatan akan dihubungkan kepada Internet dari komputer riba hinggalah pencahayaan lampu. Dengan semua peralatan dihubungkan telefon bimbit akan menjadi alat kawalan jauh terbaik untuk menggerakkan semuanya.
''Kami akan mencipta perubahan positif dan nilai tinggi kepada pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan 4G berkualiti, Internet merupakan platform yang berinovasi dan menyediakan nilai kepada mereka menggunakannya.
''Oleh sebab itu, kami telah melancarkan pertandingan 'myPrize' bagi mendapatkan idea dan aplikasi 4G terbaik. YTL Comm untuk mendapatkan sebanyak mungkin idea dari seluruh dunia bagi menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan. Pemenang pertandingan ini, akan menjadi produk dan perkhidmatan sebenar yang dilancarkan pada tahun depan'' tambahnya.
Selain itu, 4G Mobile Internet juga dapat membantu penduduk di luar bandar juga dan sekali gus mendekatkan jurang antara bandar dan luar bandar.
''Penduduk luar bandar kini lebih mudah berhubung dengan menggunakan perkhidmatan 4G ini," katanya.
Berikut adalah antara soalan daripada temu bual dengan Keong Yeow.
Bagaimana perasaan anda menjadi sebahagian keluarga Yeoh yang terkenal dan berjaya dalam perniagaan?
Keong Yeow: Saya sangat teruja. Saya dapat belajar daripada ahli keluarga yang lebih tua dan saya amat hormati mereka. Mereka menanam sifat untuk sentiasa berusaha mencari projek-projek yang memanfaatkan komuniti secara keseluruhannya.
Kini, menjadi tanggungjawab kepada saya untuk meneruskan tradisi ini dan membawa visi mereka ke peringkat seterusnya terutama dalam era Internet.
Pada masa yang sama, latar belakang saya yang memiliki kelulusan di bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik dari Imperial College di London, menyediakan diri saya dengan kemahiran teknikal dan pemahaman yang diperlukan untuk menerajui YTL Comm.
Tidakkah saudara merasa tertekan?
Tekanan untuk memberikan dan menjadi yang terbaik sangat besar. Saya percaya perkara terbaik hanya diperoleh melalui tekanan. Saya sukakan cabaran dan berusaha sedaya upaya untuk berjaya. Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada keluarga.
Siapakah yang paling banyak mempengaruhi saudara?
Pertama-tamanya, Tuhan dan kemudiannya datuk (Tan Sri Yeoh Tiong Lai), bapa (Tan Sri Francis Yeoh) serta pakcik-pakcik yang terlibat dalam perniagaan. Kami merupakan keluarga yang berpegang teguh kepada agama dan percaya idea terbaik datang dari tuhan dan kami hanya pelaksana sahaja.
Ia adalah perkara ketara kepada saya dan pengalaman. Keluarga menyokong usaha yang dilakukan saya. Pada usia muda lagi, kami telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat pada cuti musim panas dan melibatkan diri dalam perniagaan. Sehingga hari ini, kami bekerja sebagai sebuah keluarga berbincang dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah.
Bagaimana pula pengaruh di luar lingkungan keluarga?
Saya sangat menghormati Steven Paul Jobs, (pengasas bersama Apple dan Pixar ) tentang cara beliau mentadbir syarikat dan mereka produk dan perkhidmatan yang membuatkan orang ramai percaya untuk menggunakannya.
Apa falsafah hidup saudara?
Kita perlu bersungguh terhadap apa yang dilakukan. Sekiranya anda tidak bersemangat, ia tidak akan berjaya. Saya sangat teruja serta bersemangat tentang perkhidmatan Internet 4G, Dahulu saya hanya fikir perkara yang hebat berlaku di Lembah Silikon dan Jepun sahaja.
Tetapi kini kami mempunyai kemudahan tersebut di Malaysia. Kita sering membawa projek hebat dari luar negara tetapi kini kita menjadi peneraju bagi projek ini. Dalam tempoh lima tahun, kami akan menjadi contoh kepada kejayaan 4G di dunia.
Apakah hobi anda?
Saya gemar mengembara kerana ia memberi peluang memberikan perspektif dan pengalaman baru. Saya juga menggemari sukan. Kehidupan seimbang adalah penting dan sekiranya mempunyai kelapangan saya gemar berlari dan bermain bola sepak.